Selasa, 23 Februari 2021 | 5:22pm
Rekod pasukan juara bertahan EPL paling buruk dalam mempertahankan gelaran masing-masing selepas 25 perlawanan.
Rekod pasukan juara bertahan EPL paling buruk dalam mempertahankan gelaran masing-masing selepas 25 perlawanan.

Liverpool lebih 'sayur' berbanding United era Moyes

LONDON: Lapan bulan lalu, Liverpool seakan berada di puncak dunia selepas dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam sejarah mereka pada Jun tahun lalu.

Selepas menamatkan kemarau kejuaraan liga untuk tempoh 30 tahun, Jurgen Klopp dan anak buahnya berharap dapat mempertahankan gelaran itu pada musim ini.

Impian itu tampak dapat direalisasikan apabila Liverpool membelasah Crystal Palace 7-0 di Selhurst Park untuk berkelebihan empat mata selaku pendahulu liga pada 19 Disember lalu.

Dua bulan kemudiannya, segelintir penyokong dan pengkritik mula melabel The Reds sebagai 'juara bertahan paling teruk' selepas tewas 2-0 di tangan seteru tetangga, Everton.

Namun, rekod menunjukkan mereka bukanlah juara bertahan terburuk, malah bukan juga juara bertahan kedua paling teruk.

Skuad Leicester 2016-17 adalah lebih teruk berbanding Liverpool selepas mereka sekadar menang lima daripada 25 perlawanan pertama - tewas 14 perlawanan dan menamatkan saingan di tangga ke-12.

Skuad Chelsea 2015-16 juga beraksi dengan buruk pada musim terbabit apabila sekadar menang tujuh daripada 25 perlawanan pertama sehingga memaksa Jose Mourinho dipecat dan mereka menamatkan saingan di tangga ke-10.

Skuad Liverpool bagi musim 2020-21 pula menghuni tangga ketiga dengan 11 kemenangan dan tujuh kekalahan.

Bagaimanapun, persembahan Liverpool pada musim ini dilihat lebih buruk berbanding skuad Manchester United di bawah bimbingan David Moyes pada 2013-14.

'Yang Terpilih' itu mengambil alih kendalian daripada Sir Alex Ferguson tetapi dipecat pada musim sulungnya bersama pasukan itu.

Tetapi ketika itu, United menang 12 daripada 25 perlawanan pertama - lebih satu perlawanan berbanding apa yang dilakar Liverpool pada musim ini. -Agensi

Berita Harian X