Selasa, 23 Februari 2021 | 11:09am
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone. - Foto ihsan DNAIndia.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone. - Foto ihsan DNAIndia.

Cabaran besar menanti Tuchel

LONDON: Sejak hari pertama di Stamford Bridge, Thomas Tuchel sedar dengan budaya lantik dan pecat yang dihadapi pengendali Chelsea di bawah pemilih Roman Abramovich.

"Apa bezanya? Jika mereka memberikan saya empat tahun setengah dan mereka tidak gembira, mereka akan tetap memecat saya," kata Tuchel pada sidang media pertamanya selepas diberikan kontrak 18 bulan bersama kelab London itu.

Walaupun pengendali-pengendali hebat sebelum ini seperti Jose Mourinho, Carlo Ancelotti dan Antonio Conte semuanya dipecat selepas memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, dan legenda kelab Frank Lampard menjadi mangsa bulan lalu, Tuchel bersedia berdepan cabaran sukar itu.

Berbeza dengan lawan yang akan menanti mereka pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok waktu Malaysia, Atletico Madrid, kebangkitan kelab Sepanyol itu sejak sedekad lalu hanya disandarkan kepada seorang pengendali - Diego Simeone.

Sejak Simeone mengambil alih kelab itu pada tahun 2011, Chelsea pula bertukar pengendali tetap sebanyak sembilan kali. Kedua-dua pasukan akan bertemu di Bucharest untuk aksi kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Walaupun berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas lalu, Chelsea kini sekadar berada di tangga kelima EPL.

Abramovich merasakan pertukaran pengendali perlu dilakukan bagi memastikan Chelsea menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Walaupun prestasi sedikit menurun baru-baru ini, Atletico masih mendahului La Liga dengan kelebihan tiga mata dan bermain kurang satu perlawanan berbanding Real Madrid.

Sejak tewas kepada Atletico pada separuh akhir musim 2013-14, Chelsea belum pernah menang pada pertembungan kalah mati Liga Juara-Juara.

Kelab Sepanyol itu mungkin dikecewakan Real Madrid sebanyak dua kali pada aksi final 2014 dan 2016, tetapi persembahan konsisten di peringkat tertinggi Eropah itu meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan.

"Dalam peperangan, mereka yang menang bukan disebabkan kerana mempunyai askar paling ramai, tetapi mereka yang menggunakan mereka sebaik-baiknya," kata Simeone.

- AFP

Berita Harian X