Isnin, 22 Februari 2021 | 9:18am
Reaksi pengendali Tottenham Hotspur Jose Mourinho (tengah) ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP
Reaksi pengendali Tottenham Hotspur Jose Mourinho (tengah) ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP

Cara saya masih terbaik dunia - Mourinho

LONDON: Jose Mourinho menegaskan dia masih pengendali terbaik di dunia walaupun prestasi Tottenham semakin menjunam selepas kekalahan 2-1 kepada West Ham.

Skuad kendalian Mourinho kini tewas lima daripada enam aksi terakhir liga mereka dan harapan untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris semakin pudar.

Spekulasi berkenaan masa depan Mourinho juga semakin memuncak di mana dia mungkin dipecat dalam masa terdekat.

Tottenham berada di puncak liga pada pertengahan Disember, tetapi sejak itu mereka hanya menang tiga daripada 13 perlawanan liga, dan harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara kini hanya tinggal dengan memenangi Liga Europa.

Selepas dipecat ketika mengendali Chelsea buat kali kedua, dan kemudian dilepaskan oleh Manchester United, Mourinho dikatakan sudah melepasi zaman kegemilangannya.

Taktik konservatif pemenang dua kali Liga Juara-Juara itu dikatakan sudah lapuk, tetapi Mourinho tegas mempertahankan falsafah permainannya.

"Tidak, tidak sesekali. Ada ketika keputusan perlawanan adalah hasil daripada beberapa situasi dalam bola sepak dan cara saya serta kakitangan kejurulatihan adalah yang terbaik di dunia," kata Mourinho.

Bagaimanapun cara Mourinho itu hanya menghasilkan deretan keputusan lebih buruk berbanding prestasi yang menyebabkan Mauricio Pochettino dipecat pada tahun 2019.

Namun Mourinho menegaskan Tottenham, yang kini ketinggalan sembilan mata di belakang West Ham yang berada di tangga keempat, belum mengalami krisis.

"Saya tidak tahu apa yang anda maksudkan dengan krisis. Jika krisis adalah kekecewaan dan kesedihan dalam bilik persalinan, saya bersetuju kerana kami semua tidak gembira dan ia kelihatan dalam permainan.

"Saya tidak anggap sebagai krisis, ia hanya deretan keputusan buruk. Ia amat jelas. Kami tewas terlalu banyak perlawanan," katanya. - AFP

Berita Harian X