Sabtu, 20 Februari 2021 | 12:54pm
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola . - Foto ihsan The Mirror.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola . - Foto ihsan The Mirror.

City di landasan selesa rangkul kejuaraan

KOLUM APA KATA EPL

Manchester City kini kian selesa mendahului saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan 10 mata ke atas pesaing terdekatnya, Manchester United, hasil kutipan 56 mata menjelang aksi hujung minggu ini.

Dalam masa sama penyandang juara, Liverpool pula kembali bangkit apabila menundukkan kelab Jerman, RB Leipzig, 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu selepas berdepan kemuraman apabila tewas dalam tiga aksi berturut-turut saingan EPL.

Dengan semua enam pasukan teratas sudah pun beraksi sebanyak 24 perlawanan, maka kini kita dapat melihat secara jelas kedudukan dan potensi mereka selepas ini. Ini kerana tiada lagi pasukan memiliki kelebihan aksi berbanding sebelumnya.

Kelebihan 10 mata dimiliki skuad bimbingan Pep Guardiola jelas meletakkan ia sebagai pilihan juara ketika saingan hanya berbaki 14 perlawanan lagi. Dan Liverpool pula rasanya boleh melupakan terus hasrat mempertahankan kejuaraan selepas ketinggalan 16 mata. City kini hanya perlu menang sekurang-kurangnya 11 baki perlawanan untuk bergelar juara.

Mampukah Guardiola mencapai sasaran itu? Minggu ini, City akan bertandang ke London bertemu skuad bimbingan Mikel Arteta, Arsenal yang kembali mencatat kemenangan meskipun terikat 1-1 menentang Benfica dalam saingan Liga Europa, kelmarin.

Sebelum ke Stadium Emirates tengah malam esok, City gah dengan kejayaan menundukkan Everton 3-1 di Goodison Park manakala The Gunners pula bangkit membenam Leeds, 4-2 di laman sendiri, selepas diaibkan Wolves 1-2 sebelum itu.

Rekod lalu pertemuan kedua-dua pasukan, menunjukkan Arsenal tewas dalam tujuh aksi liga menentang City, selain gagal menjaringkan sebarang gol ketika beraksi di laman sendiri. Malah, tambah memeritkan, mereka juga tumpas 1-4 di Emirates pada aksi Piala Liga awal musim ini.

Penulis menjangkakan aksi tumpuan bagi minggu ini sengit, namun City memiliki peluang lebih baik untuk mengutip mata penuh kecuali Arteta ada strategi mujarab memerangkap The Citizens.

Bagaimana pula nasib Liverpool? Mampukah mereka bangkit seperti ketika menjinakkan RB Leipzig? Minggu ini, skuad Jurgen Klopp akan menyambut kunjungan jiran mereka, Everton awal pagi esok dalam saingan tetangga Merseyside.

Rekod lalu menunjukkan Liverpool tidak pernah tewas kepada jirannya itu dalam 23 aksi terakhir bagi semua kejohanan - satu rekod dalam persaingan membabitkan dua seteru. Kali terakhir The Toffees menang di Anfield pada September 1999. Mampukah Carlo Ancelotti mengubah sejarah itu kali ini?

Dalam pada itu, United yang membelasah Real Sociedad, 4-0 pada aksi Liga Europa kelmarin akan menyambut kunjungan Newcastle pada awal pagi Isnin. The Red Devils perlu memenangi aksi ini jika tidak mahu tercicir dari tempat kedua selepas diikat West Bromwich 1-1 minggu lalu.

Chelsea dibawah bimbingan Thomas Tuchel yang kini menduduki tangga keempat liga akan berkunjung ke Southampton malam ini manakala Liecester berdepan Aston Villa. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Wolves 1-1 Leeds

Southampton 0-2 Chelsea

Burnley 2-0 West Bromwich

Liverpool 2-0 Everton

Fulham 2-0 Sheffield

West Ham 2-2 Tottenham

Aston Villa 2-3 Leicester

Arsenal 1-3 Man City

Man United 2-0 Newcastle

Brighton 2-1 C Palace

Berita Harian X