Selasa, 16 Februari 2021 | 8:24am
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kiri) menjaringkan gol pertama ketika berdepan Armenia Bielefeld dekat Munich. AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kiri) menjaringkan gol pertama ketika berdepan Armenia Bielefeld dekat Munich. AFP

Bayern diikat Bielefeld

BERLIN: Robert Lewandowski mencipta gol ke-25 Bundesliga musim ini menerusi voli menarik ketika Bayern Munich memerlukan tiga gol pada babak kedua sebelum seri 3-3 di laman sendiri berdepan pasukan bergelut, Arminia Bielefeld hari ini.

"Ia tempoh yang sukar, tanpa mengira cuaca, tapi kami menunjukkan semangat melawan, jadi seri 3-3 OK," kata penyerang Bayern, Eric Choupo-Moting.

Walaupun seri, Bayern kini lima mata berbanding pasukan tangga kedua di persada Bundesliga.

Bagaimanapun empat hari selepas menang Piala Dunia Kelab di Qatar, Bayern bergelut ketika kembali ke Munich apabila Bielefeld mendahului 2-0.

Bayern memerlukan gol babak kedua Lewandowski, Corentin Tolisso dan sepakan kencang Alphonso Davies untuk menyelamatkan mata.

"Banyak perkara datang bersama pada babak pertama," kata jurulatih Bayern, Hansi Flick.

"Kami tidak bertahan dengan baik, Bielefeld meledak dua gol daripada dua peluang dan keadaan padang tidak baik.

"Namun pasukan masih menunjukkan kekuatan mental sekali lagi dan kami berpuas hati dengan satu mata."

Salji turun sebelum sepak mula yang memenuhi padang di Allianz Arena namun Bielefeld menyesuaikan diri dengan baik dalam keadaan berkenaan.

Bielefeld yang berkedudukan ketiga dari bawah, mendominasi juara dunia itu pada babak pertama. - AFP

Berita Harian X