Khamis, 11 Februari 2021 | 4:56pm
Sulaiman Md Ali (tengah) bersama Alex dos Santos Gonçalves (dua kiri) dan Manuel Gelito (kiri) pada majlis menandatangani kontrak hari ini. FOTO MUFC
Sulaiman Md Ali (tengah) bersama Alex dos Santos Gonçalves (dua kiri) dan Manuel Gelito (kiri) pada majlis menandatangani kontrak hari ini. FOTO MUFC

MUFC ikat dua pemain import baharu

MELAKA: Melaka United United Football Club (MUFC) mengikat dua pemain import baharu bagi memperkasa skuad berkenaan di pentas saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah MUFC yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pemain berkenaan ialah Alex dos Santos Goncalves dari Brazil yang beraksi di posisi serangan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pemain berusia 30 tahun itu berhijrah dari kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973 dan pernah beraksi bersama beberapa kelab di Brazil, Romania, Turki dan Indonesia.

Menurutnya, seorang lagi pemain import baharu ialah Manuel Gelito Ott atau lebih dikenali Manny Ott, 28 yang berhijrah dari kelab Filipina, Ceres Negros.

"Manny Ott pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina, pernah beraksi bersama kelab Thai League 1, Ratchaburi Mitr Phol. Dia juga pemain pasukan kebangsaan Filipina sejak 2010 dan menyertai MU sebagai import kuota ASEAN musim ini.

"Kehadiran Manny Ott penting dalam usaha pasukan bagi memperkukuhkan pertahanan pasukan musim ini dan kami yakin dengan pengalaman mereka mampu memperkuatkan pasukan," katanya.

Sulaiman berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak pemain berkenaan di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini bersama lanjutan kontrak dua pemain import musim lalu iaitu pemain sayap kelahiran Haiti, Sony Norde dan Jang Suk-Won (Korea Selatan) yang kekal bersama Skuad Hang Tuah.

Seorang lagi penyerang import baharu tidak dapat hadir, berikutan sedang menjalani proses kuarantin di ibu negara dan perkembangannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Turut menandatangani kontrak penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sehingga 2022 serta pemain pertahanan, Razman Roslan untuk tempoh semusim.

Berita Harian X