Rabu, 13 Januari 2021 | 6:26pm
Penyerang import baharu TFC, David Da Silva (tengah) menjalani latihan bersama pasukannya di Kuala Terengganu. - Foto ihsan FB TFC.
Penyerang import baharu TFC, David Da Silva (tengah) menjalani latihan bersama pasukannya di Kuala Terengganu. - Foto ihsan FB TFC.

Da Silva sasar anugerah Kasut Emas musim ini

KUALA TERENGGANU: Penyerang import baharu Terengganu FC (TFC), David Da Silva melaungkan keazaman untuk memburu anugerah Kasut Emas dalam saingan Liga Super musim ini.

Hadir dengan reputasi penjaring terbanyak bersama bekas kelabnya, Persebaya Surabaya dalam saingan Liga Indonesia, pemain kelahiran Brazil itu juga mahu menambah koleksi piala buat skuad Penyu.

Justeru pemain berusia 32 tahun itu yang sudah beraksi bersama 12 kelab sebelum berhijrah ke Terengganu akui tidak sabar untuk memperagakan aksinya dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini.

"Setiap penyerang sudah pasti mengidam untuk meledak seberapa banyak gol. Begitu juga dengan saya yang berazam untuk merebut anugerah Kasut Emas, lebih-lebih lagi musim pertama beraksi dalam Liga M.

"Namun keutamaan sudah pasti kepada pasukan untuk merakam kemenangan pada setiap perlawanan. Jika saya dapat jaringkan gol, itu bonus buat diri dan juga pasukan," katanya.

Berdasarkan rekod, Da Silva yang memulakan kariernya bersama kelab Birkirkara FC dalam Liga Malta pada 2011, meledak 20 gol daripada 23 penampilan pada 2018 ketika bersama kelab Surabaya itu.

Pada 2019, pemain berketinggian 1.85 meter itu yang mengikat kontrak setahun bersama TFC menjaringkan 14 gol dalam 17 perlawanan. Namun musim lalu, ia hanya meledak satu gol daripada dua aksi berikutan Liga Indonesia dibatalkan kerana pandemik COVID-19.

Ketika ditanya faktor dia berhijrah ke Terengganu, Da Silva yang menjadikan legenda Brazil, Ronaldo sebagai idolanya berkata, ketidaktentuan status Liga Indonesia kerana wabak itu membuatkan dia memilih untuk beraksi dalam Liga M.

"Ini kali pertama saya bakal beraksi dalam Liga M dan Piala AFC, sudah tentu saya mahu memberikan cabaran dalam kedua-dua saingan itu," katanya yang berasa lega dapat kembali ke padang namun mengharapkan Liga M dapat dilangsungkan.

Selain Da Silva, TFC yang dibimbing jurulatih kelahiran Kelantan, Nafuzi Zain sudah membawa masuk tiga lagi import baharu termasuk bekas pemain kelab Aston Villa, Christopher Herd dari Australia selain pemain berdarah campuran Filipina-Sepanyol, Carli De Murga dan kapten Namibia, Petrus Shitembi.

Berita Harian X