Sabtu, 2 Januari 2021 | 12:01am
Dari kiri: Frank Lampard, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp.
Dari kiri: Frank Lampard, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp.

Cabaran sukar Liverpool, Chelsea, City

KOLUM APA KATA EPL

Selamat tahun baru. Kesibukan cuti tidak menghalang saingan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) diteruskan. Malah ia terus bertambah hangat. Selepas 16 aksi, penyandang juara, Liverpool masih boleh mendabik dada, apabila gah mendominasi puncak liga dengan 33 mata.

Jika melihat sejarah lalu, lazimnya, kita boleh dapat gambaran awal calon juara setiap musim selepas aksi Boxing Day (26 Disember) atau menjelang tahun baru kerana saingan sudah memasuki fasa kedua. Dalam konteks musim ini yang terjejas dek COVID-19, ia sedikit berbeza.

Dengan berbaki tiga dan empat perlawanan sebelum memasuki aksi ke-20, gambaran calon juara masih belum jelas. Kedudukan Liverpool dilihat belum selesa apabila hanya mendahului Manchester United dengan beza tiga mata, namun pesaingnya masih ada kelebihan satu aksi.

Malah pasukan ditempat ketiga, Leicester City, hanya ketinggalan empat mata. Begitu juga, Everton yang turut memiliki kele bihan satu aksi manakala Aston Villa, Chelsea, Tottenham Hotspur, Manchester City dan Southampton masing-masing menghimpun 26 mata.

Kita percaya selepas 30 tahun menanti bergelar juara liga, pastinya Liverpool sudah memasang azam 2021 untuk mempertahankan kejuaraan itu dan memenanginya buat kali ke-20. Apakah Jurgen Klopp mampu merealisasikan impian itu bersama penyokongnya termasuk di Malaysia?

Minggu ini, The Reds berkunjung ke ke Southampton. Ketika ini, lawannya itu menduduki tangga kesembilan liga dan dianggap berada pada prestasi terbaik. Liverpool pula hadir dengan reputasi meragukan apabila seri dua kali berturut-turut sebelum ini. Mampukah The Reds bangkit?

Dalam pada itu, perlawanan tumpuan minggu ini adalah membabitkan pertemuan dua calon juara, Chelsea dan City di Stamford Bridge. Sebelum aksi itu, Chelsea menduduki tangga kelima dengan himpunan 26 mata. City juga memiliki jumlah mata sama, namun di tangga kelapan.

Berbanding City, reputasi The Blues dalam aksi terakhir kelihatan rapuh apabila dikejutkan 3-1 pasukan dalam krisis, Arsenal, sebelum diikat 1-1 kelab Aston Villa di laman sendiri. Dua keputusan itu menyaksikan kedudukan Frank Lampard turut dipersoal.

Sebaliknya, Pep Guardiola dan pasukannya, menikmati enam mata berharga apabila menang 2-0 ke atas Newcastle dan Southampton (1-0). Melihat kepada rekod lalu, Chelsea berjaya memenangi dua aksi terakhir kedua-dua pasukan di Stamford Bridge. Malah mereka juga pernah menang empat kali berturut-turut ke atas City di gelanggang sama pada musim 2006-2009.

Mampukah skuad Lampard melakukan kebangkitan dan sekali gus mengekalkan rekod musim lalu? Atau harus berdepan tekanan lagi andai gagal mengekang City yang pastinya memburu tiga mata untuk kembali menjadi calon juara musim ini sebelum fasa kedua bermula.

Dalam aksi lain, United berdepan pasukan paling mengejutkan, Villa - dengan kemenangan pasti akan mengekalkan mereka di posisi kedua. Villa sebelum ini sentiasa diingati kerana pernah membelasah Liverpool 7-2 dan terus bangkit menyerlah sehingga kini.

Arsenal pula akan berdepan West Brom yang mengikat Liverpool sebelum ini dan kemenangan hampir pasti melonjakan kedudukan mereka, manakala Tottenham berdepan tugas sukar apabila menyambut kunjungan Leeds di laman sendiri. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Everton 2-1 West Ham

Man United 3-1 Aston Villa

Tottenham 2-1 Leeds

C Palace 2-0 Sheffield

Brighton 1-1 Wolves

West Brom 1-2 Arsenal

Burnley 1-1 Fulham

Newcastle 1-1 Leicester

Chelsea 2-2 Man City

Southampton 1-2 Liverpool

Berita Harian X