Khamis, 31 Disember 2020 | 2:14pm
Kamarul (kanan) bersama pemain skuad B-19 negara.
Kamarul (kanan) bersama pemain skuad B-19 negara.

Beri peluang skuad B-19 ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara mempunyai kelayakan dan wajar diberi peluang untuk menggalas misi negara di Sukan SEA Hanoi tahun depan.

Perkara itu disuarakan pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar sambil menyifatkan skuad kendalian Brad Maloney itu sebagai pasukan B-19 terbaik di ASEAN ketika ini.

Beliau berkata, temasya Asia Tenggara itu juga menjadi medan terbaik buat skuad Brad Maloney membuktikan kemampuan sekiranya penganjuran Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan, Mac 2021 dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, segala keputusan terletak di tangan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempertimbangkan perkara itu kerana sebelum ini tugas di Sukan SEA diberikan kepada skuad B-23.

"Pemilihan pasukan adalah hak MSN dan kita serah kepada mereka untuk membuat keputusan. Namun, jika peluang itu diberikan, kami skuad B-19 amat bersedia untuk menyahut cabaran.

"Skuad ini (B-19) amat mampu untuk bersaing di Sukan SEA dan kalau skuad ini beraksi kita akan sasar pingat emas," katanya, semalam.

Skuad B-19 negara berdepan kekecewaan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 minggu lalu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

Malah, terdapat kemungkinan Kejuaraan AFC B-19 yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia B-20 itu turut akan dibatalkan.

Mengulas lanjut, Kamarul mengakui semua pemain begitu berharap dapat melakar sejarah ke Piala Dunia B-20, namun impian itu tidak kesampaian dan kini mereka berdebar menanti keputusan daripada AFC berkenaan Kejuaraan B-19 di Uzbekistan.

"Saya boleh katakan ini skuad emas dimiliki negara ketika ini. Semua pemain sedih dan kecewa selepas mendapat berita Piala Dunia batal kerana itu impian kami untuk beraksi di sana," katanya.

Berita Harian X