Isnin, 14 Disember 2020 | 8:54pm
Keputusan undian pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di ibu pejabat UEFA.
Keputusan undian pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di ibu pejabat UEFA.

Messi, Neymar bertembung

NYON: Aksi paling mencuri tumpuan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara sudah pasti membabitkan pertembungan antara dua gergasi Eropah, Paris Saint Germain (PSG) yang diundi bertemu Barcelona.

Pertembungan antara wakil Ligue 1 dengan pasukan dari La Liga itu menyaksikan pemain terbaik dunia, Lionel Messi akan berentap menentang bekas rakan sepasukannya di Nou Camp, Neymar.

Sementara itu, penyandang juara, Bayern Munich pula dijadual bertemu kelab Serie A, Lazio manakala Real Madrid akan menentang satu lagi wakil Serie A, Atalanta.

Bagi wakil Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea beroleh 'mimpi ngeri' selepas diundi bertemu Atletico Madrid sementara Liverpool turut berdepan ujian pasukan yang menyingkirkan Manchester United, RB Leipzig.

Anak buah Frank Lampard itu akan menentang skuad bimbingan Diego Simeone sekali gus bertemu semula bekas penyerang The Blues, Diego Costa.

Atletico Madrid menyingkirkan Liverpool di peringkat sama pada edisi tahun lalu dan kini menyasarkan misi sama ke atas Chelsea.

The Reds pula akan bertemu pasukan yang mara ke separuh akhir musim lalu, RB Leipzig yang 'menendang keluar' United ke saingan Liga Europa pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Manchester City pula tampak berdepan laluan cerah untuk merangkul kejuaraan Eropah sulung apabila diundi bertemu Borussia Monchengladbach. - AGENSI

Undian penuh pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara

Borussia Mon'ladbach mln Man City

Lazio mln Bayern Munich

Atletico Madrid mln Chelsea

RB Leipzig mln Liverpool

Porto mln Juventus

Sevilla mln Borussia Dortmund

Barcelona mln PSG

Atalanta mln Real Madrid

Berita Harian X