Sabtu, 12 Disember 2020 | 12:49pm

City bakal kecewakan Red Devils?

KOLUM APA KATA EPL

Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu, Manchester United berharap untuk bangkit semula bagi mengubat kekecewaan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.

Menunggu skuad The Red Devils di laman sendiri awal pagi esok adalah tetangga mereka, Manchester City. Satu lagi cabaran sukar menanti selepas dikecewakan RB Leipzig. Mampukah Ole Gunnar Solskjaer mengenepikan cabaran skuad bimbingan Pep Guardiola itu?

Adakah motivasi serta moral pasukan United sudah pulih dan bersedia bangkit? Itulah persoalan yang mungkin banyak berlegar ketika ini. Tersingkir awal dari pentas elit seperti Liga Juara-Juara bukanlah sesuatu yang diinginkan Solksjaer dan penyokong United.

Namun itulah realitinya. Memang pahit untuk ditelan, tapi The Red Devils harus menerima hakikat mereka akan kembali beraksi di Liga Europa selepas ini. Menjelang pertemuan City esok, pastinya ramai sudah meramal nasib bakal menimpa Solksjaer andai United tewas lagi.

Sebelum kunjungan ke Old Trafford, City menduduki tangga ketujuh EPL hasil himpunan 18 mata daripada 10 aksi, hanya setakuk di bawah United yang mengumpulkan 19 mata. Kedua-dua pasukan juga setakat ini beraksi kurang satu perlawanan.

Berbanding skuad Solskjaer, barisan Guardiola tampil bergaya dan membara apabila layak ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan D dengan aksi terakhir pada pertengahan minggu ini, membenam kelab Perancis, Marseille, 3-0 di Etihad.

Pada aksi terakhir EPL minggu lalu, City juga mudah mengatasi Fulham 2-0 untuk terus merapati pendahulu liga, Tottenham Hotspur yang gah dengan 24 mata manakala United sebaliknya bergelut sebelum dapat menewaskan West Ham 3-1 di Stadium London.

Menelusuri rekod terdahulu, United memenangi kedua-dua aksi musim lalu. Apakah keputusan itu bisa berulang? Sudah pasti itu harapan Solskjaer dan United. Tapi Guardiola tidak akan memberi peluang semudah itu kerana mereka juga ingin terus merapati Tottenham di puncak.

Dalam pada itu, peluang skuad Jose Mourinho untuk terus memperkukuhkan kedudukan di puncak liga nampak mudah apabila bertandang ke Selhurst Park bertemu Crystal Palace malam esok. Ketika ini Spurs mendahului pesaing terdekat Liverpool dengan perbezaan jaringan gol.

Pada Khamis, Tottenham mengatasi kelab Belgium, Antwerp, 2-1 dalam saingan Liga Europa. Skuad The Reds bimbingan Jurgen Klopp juga berpeluang mengutip mata penuh apabila bertandang ke Craven Cottage bertemu Fulham tengah malam esok, bagi terus menekan Spurs.

Chelsea yang menduduki tangga ketiga hasil himpunan 22 mata bagaimanapun dijangka berdepan cabaran sukar apabila bertemu Everton di Goodison Park manakala Arsenal harus mampu bangkit semula apabila melayan Burnley, awal pagi Isnin. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini:
Leeds 1-1 West Ham
Wolves 1-1 Aston Villa
Newcastle 3-1 West Brom
Man United 0-2 Man City
Everton 1-3 Chelsea
Southampton 3-1 Sheffield
C Palace 1-4 Tottenham
Fulham 0-5 Liverpool
Leicester 3-1 Brighton
Arsenal 3-1 Burnley

Berita Harian X