Sabtu, 5 Disember 2020 | 10:03pm
Bekas kapten Selangor II, Sharul Nazeem Zulpakar. - Foto ihsan FB Selangor FA.
Bekas kapten Selangor II, Sharul Nazeem Zulpakar. - Foto ihsan FB Selangor FA.

Lima 'ubi muda' Selangor kian bersemangat

KUALA LUMPUR: Lima 'ubi muda' dari Selangor II yang bakal beraksi bersama skuad utama Selangor musim depan jelas begitu bersemangat dan kini sedia bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Malah, bekas kapten Selangor II, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui penyertaan mereka bersama skuad senior akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengutip seberapa banyak pengalaman sekali gus membantu mereka menjadi pemain yang lebih baik.

"Saya bersyukur kami berlima tersenarai dalam skuad utama musim hadapan. Saya yakin kami akan menimba banyak ilmu daripada barisan kejurulatihan dan pemain senior. Kami akan berusaha mendapatkan minit permainan bagi mematangkan corak permainan kami," katanya.

Sebagai rekod, tiada perubahan besar dapat disaksikan dalam kem Selangor untuk musim 2021 selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan untuk mengekalkan 15 pemain daripada skuad musim ini.

13 daripadanya adalah pemain tempatan sementara dua import turut dikekalkan iaitu penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun dan juga pemain dari Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengisi kuota pemain ASEAN.

Bagaimanapun, mereka melepaskan sembilan pemain daripada musim ini iaitu kapten pasukan, Taylor Regan; penggempur berbisa, Rufino Segovia selain Syazwan Zainon, Khyril Muhymeen, Farizal Harun, Nicholas Swirad, K Prabakaran, Zahril Zabri dan Anwar Ibrahim.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain senior, Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner menaikkan lima pemain dari Selangor II untuk menyertai pasukan utama musim depan.

Tiga pemain yang melakukan penampilan pertama pada Piala Malaysia musim ini iaitu Aliff Haiqal Lau, Zikri Khalili dan Danial Asri akan diserap ke pasukan utama Selangor.

Dua lagi pemain iaitu Sharul Nazeem dan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel turut tersenarai untuk menyarung jersi pasukan utama Gergasi Merah musim depan.

Berita Harian X