Sabtu, 5 Disember 2020 | 11:23am
JOSE Mourinho
JOSE Mourinho

Mampukan Arsenal kejutkan Spurs?

Skuad bimbingan Jose Mourinho, Tottenham Hotspur terus mempamerkan keunggulan apabila kekal mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) buat dua minggu berturut-turut selepas merampasnya dari penyandang juara, Liverpool.

Minggu lalu, mereka berdepan ujian berat di Stamford Bridge, namun berjaya mencuri satu mata selepas mengikat Chelsea 0-0. Dan agak bernasib baik selepas pesaing terdekat, Liverpool seri 1-1 menentang Brighton manakala Leicester City dikejutkan oleh Fulham 1-2.

Pada 22 November lalu, Spurs menerima kunjungan Manchester City dan berjaya mengejutkan skuad Pep Guardiola, 2-0. Pada minggu ini, mereka akan diuji satu lagi kelab gergasi EPL, Arsenal. Kali ini mereka menyambut kunjungan lawan tetangga Utara London itu.

Sebelum pertemuan lewat tengah malam Isnin ini, skuad Mourinho unggul dengan 21 mata selepas 10 aksi. Arsenal sebaliknya menduduki tangga ke-14 liga hasil himpunan 13 mata dengan rekod buruk apabila hanya mampu menjaringkan lima gol daripada lapan perlawanan.

Jelas pengendali pasukan, Mikel Arteta yang pernah dianggap sebagai jurulatih berbakat oleh Mourinho, berdepan suasana sukar sejak mengambil alih tempat Unai Emery kira-kira 12 bulan lalu.

Dalam tiga aksi terakhir liga, The Gunners dimalukan 0-3 oleh Aston Villa di kubu sendiri, sebelum terikat 0-0 dengan Leeds United dan dibenam 1-2 oleh Wolves di laman sendiri minggu lalu. Mampukah The Gunners bangkit dan sekali gus mengecewakan Spurs?

Mengikut rekod pertemuan lalu, Tottenham tidak pernah tewas dalam enam aksi terakhir liga di laman sendiri kepada Arsenal (4 menang 2 seri) sejak kalah 0-1 pada Mac 2014. Jelas kelebihan menyebelahi ketika ini Spurs pada aksi tetangga Utara London ini.

Kelmarin, kedua-dua pasukan beraksi dalam saingan Liga Europa dengan Spurs terikat 3-3 menentang kelab Austria, LASK di Linz untuk layak ke pusingan kalah mati manakala Arsenal turut mara selepas membenam Rapid Vienna, 4-1 di Emirates.

Sementara itu, Manchester United yang tewas 1-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu, harus bangkit apabila berkunjung ke Stadium London bertemu West Ham manakala Chelsea dijangka tiada masalah apabila menyambut Leeds di laman sendiri.

Liverpool pula dijangka berdepan aksi sukar bertemu Wolves di Anfield, meskipun mendapat suntikan menewaskan Ajax 1-0 pada saingan Liga Juara-Juara dengan barisan muda manakala City pula diramal mudah menjinakkan Fulham yang berkunjung ke Etihad. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Burnley 1-3 Everton

Man City 3-0Fulham

West Ham 1-2 Man United

Chelsea 2-0 Leeds

West Brom 1-1 Crystal Palace

Sheffield 2-2 Leicester City

Tottenham 4-1 Arsenal

Liverpool 1-2 Wolves

Brighton 1-2 Southampton

Berita Harian X