Sabtu, 28 November 2020 | 9:52am
Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho (kiri) dan jurulatih Chelsea, Frank Lampard (kanan) bakal membuat perhitungan di Stadmford Bridge, minggu ini. - Foto ihsan GiveMeSport.
Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho (kiri) dan jurulatih Chelsea, Frank Lampard (kanan) bakal membuat perhitungan di Stadmford Bridge, minggu ini. - Foto ihsan GiveMeSport.

Mampukah Lampard memalukan lagi Mourinho di Stamford Bridge?

KOLUM APA KATA EPL

Pertembungan Chelsea dan Tottenham Hotspurs di Stamford Bridge tengah malam Isnin waktu Malaysia atau petang Ahad waktu London menjadi aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.

Selepas sembilan perlawanan, kedua-dua pasukan jelas berjaya mempamerkan prestasi terbaik dengan Tottenham gah menduduki puncak carta liga dengan 20 mata manakala The Blues ketinggalan dua mata untuk berada di tangga ketiga.

Minggu lalu The Blues mengatasi Newcastle United, 2-1 di St James Park dalam aksi EPL untuk menghuni tangga ketiga sebelum mengalahkan kelab Perancis, Rennes dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu.

Spurs pula memalukan Manchester City, 2-0 di laman sendiri untuk mengutip mata penuh sekali gus memintas Leicester City di puncak liga sebelum meneruskan aksi cemerlang kelmarin, membenam kelab Bulgaria, Ludogorets, 4-0 dalam saingan Liga Europa di London.

Dengan prestasi baik yang dipamerkan kedua-dua pasukan, sudah pasti ramai menjangkakan saingan tetangga London ini bakal sengit dengan masing-masing sedar akan tergelincir dari posisi semasa andai tewas.

Melihat rekod musim lalu, ia jelas milik pasukan Frank Lampard apabila memenangi kedua-dua aksi timbal balik. Skuad bimbingannya mengatasi pasukan Jose Mourinho 2-1 di Stamford Bridge dan 2-0 di laman lawannya itu.

Untuk aksi jiran tetangga ini, The Blues dijangka terus menaruh harapan kepada gandingan Timo Werner dan Tammy Abraham untuk merobek gawang pelawat tatkala gabungan Harry Kane-Son Heung-min jadi sandaran Spurs terus cemerlang.

Selain itu, The Blues dijangka kembali diperkuat Kai Havertz dan Thiago Silva yang diketepikan minggu lalu ketika bertemu City, manakala pemain Amerika Syarikat, Christian Pulisic harus disenaraikan semula selepas pulih.

Matt Doherty yang tersisih ketika menentang Manchester City minggu lalu akibat jangkitan COVID-19 akan kembali perkuat pasukan Spurs, namun Toby Alderweireld terpaksa diketepikan akibat kecederaan. Begitu juga, Harry Winks dan Erik Lamela akibat masalah serupa.

Sementara itu, juara bertahan, Liverpool akan bertandang ke Stadium Falmer bertemu Brighton malam ini. Selepas dimalukan Atalanta 2-0 pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu, anak buah Jurgen Klopp menaruh harapan bangkit.

Kecederaan beberapa tonggak jelas memberi kesan kepada keperkasaan The Reds biarpun Klopp memberi alasan jadual padat sebagai punca kejutan di laman sendiri itu. Minggu lalu, Liverpool tiada masalah membenam Leicester 3-0 di gelanggang sama.

Dalam aksi lain Manchester United akan berkunjung ke Stadium St Marys bertemu Southampton dengan semangat membara selepas membenam Istanbul Basaksehir, 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara manakala jirannya, City, tekad bangkit menyambut Burnley. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

C Palace 1-2 Newcastle

Brighton 2-2 Liverpool

Man City 3-1 Burnley

Everton 2-1 Leeds

West Brom 2-1Sheffield

Southampton 1-2 Man United

Chelsea 2-1 Tottenham

Arsenal 1-1 Wolves

Leicester 2-1 Fulham

West Ham 1-1 Aston Villa

Berita Harian X