Sabtu, 28 November 2020 | 9:51am
Pengendali Chelsea Frank Lampard. - Foto AFP
Pengendali Chelsea Frank Lampard. - Foto AFP

Lampard mahu ulangi era gemilang Chelsea

LONDON: Frank Lampard berkata dia bangga menjadi sebahagian daripada skuad Chelsea dalam era Roman Abramovich tetapi tidak akan berehat sehingga mereka kembali ke puncak bola sepak Inggeris.

Pengendali 42 tahun itu memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sebagai pemain di Stamford Bridge, dan kini dia membimbing pasukan itu dalam musim keduanya.

Lampard, penjaring gol terbanyak Chelsea, menyertai kelab itu pada tahun 2001 dan menjadi tonggak dalam kebangkitan mereka bersama pemilik Russia itu.

Pertembungan Liga Perdana esok menentang bekas pengendalinya di Chelsea, Jose Mourinho, yang kini bersama Tottenham, adalah perlawanan ke-1000 kelab sejak Abramovich menjadi pemilik pada tahun 2003.

Suntikan dana jutawan Russia itu menjelmakan deretan kejuaraan buat kelab - lima gelaran Liga Perdana sejak tahun 2005.

"Anda boleh laburkan sebanyak mana dalam bola sepak tetapi hanya akan memenangi sesuatu hasil kerja keras dan individu di atas padang, tanpa mengira anda berbelanja atau tidak dalam era moden Liga Perdana.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada kelab dalam saat senang dan sukar," kata Lampard.

Selepas larangan perpindahan pada musim pertamanya, Abramovich berbelanja besar untuk skuad Lampard dengan membawa masuk Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech, Ben Chilwell, Edouard Mendy dan Thiago Silva.

Chelsea kini di tangga ketiga Liga Perdana, dua mata di belakang pendahulu, Spurs. - AFP

Berita Harian X