Jumaat, 20 November 2020 | 11:04pm
Pemain TFC, Lee Tuck bersama anak perempuannya ketika bersiar-siar. Khidmat pemain import skuad Penyu ini tidak disambung lagi musim depan. - Foto ihsan FB Lee Tuck.
Pemain TFC, Lee Tuck bersama anak perempuannya ketika bersiar-siar. Khidmat pemain import skuad Penyu ini tidak disambung lagi musim depan. - Foto ihsan FB Lee Tuck.

'Selamat tinggal Terengganu'

KUALA TERENGGANU: Selepas penyerang Dominique Da Sylva dan pemain sayap, Muhammad Faris Ramli, kini giliran Lee Tuck pula mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Terengganu FC (TFC).

Menerusi kenyataan pada akaun laman sosial miliknya bagi mengumumkan perkembangan itu tengah hari tadi, Tuck yang juga pemain berdarah campuran England- Malaysia turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukannya itu.

Bekas kapten TFC itu juga menyatakan rasa bangga bekerjasama dengan pasukan berkenaan selama tiga tahun sehingga berjaya menduduki tempat ketiga Liga Super musim ini sekali gus layak ke Piala AFC musim depan.

"Saya sedih menyatakan perjalanan bersama pasukan TFC berakhir. Saya akan berpisah dengan pasukan itu, mereka ada perancangan baharu untuk musim depan dan saya tidak ada dalam perancangan itu.

"Apapun terima kasih kepada semua, saya dan keluarga selesa tinggal di sini (Terengganu). Setiap minit saya sentiasa memberikan yang terbaik. Saya juga gembira diberi peluang, semoga TFC terus berjaya," katanya yang pernah beraksi dalam Liga Thailand dan Bangladesh.

Pemain berusia 32 tahun kelahiran Halifax, England itu yang mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada 2017 dengan Negeri Sembilan sebelum ini ada menyuarakan hasrat untuk terus kekal menyarung jersi skuad Penyu musim depan.

Berita Harian X