Jumaat, 20 November 2020 | 6:45pm
Pemain kebangsaan Singapura, Shakir Hamzah (empat dari kiri) bersama pasukan Kedah selama dua musim. - Foto ihsan Arena Bolasepak.
Pemain kebangsaan Singapura, Shakir Hamzah (empat dari kiri) bersama pasukan Kedah selama dua musim. - Foto ihsan Arena Bolasepak.

Lang Merah intai pemain Singapura, Thailand, Indonesia

ALOR SETAR: Pemain dari tiga negara ASEAN dijangka memperkuatkan pasukan Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Menurut sumber, pemain daripada Singapura, Thailand dan Indonesia itu kini dalam senarai untuk diikat dalam usaha melengkapkan kuota skuad Lang Merah.

"Pemain-pemain yang bakal dipilih itu sedang dalam rundingan sebelum dipilih ke peringkat lebih lanjut. Antara calon yang sedang dirunding itu ialah pemain berpotensi dari Singapura, Thailand dan Indonesia untuk mengisi kuota ASEAN.

"Bagaimanapun belum ada pengesahan lanjut siapakah yang bakal dipilih untuk mengisi kedudukan itu setakat ini," katanya.

Kedah memulakan langkah mengambil pemain kuota ASEAN pada 2018 apabila mengikat pemain kebangsaan Filipina, Alvaro Silva yang sebelum itu beraksi bersama kelab Vietnam, Ha Noi FC.

Selepas itu, ia mengikat pemain kebangsaan Singapura dan Home United, Shakir Hamzah dan kekal selama dua musim iaitu sehingga 2020.

Turut menjadi topik panas sejak beberapa hari yang lalu adalah kemungkinan bekas pemain tengah UiTM FC kelahiran Lebanon, Rabih Ataya menyertai skuad Lang Merah bagi menggantikan Amin Nazari untuk kuota Asia.

Bagi kategori tempatan pula, Syazwan Zainon dan Rodney Celvin yang beraksi bersama Selangor musim ini serta pemain FELDA United, Arif Farhan Md Isa turut disebut-sebut.

Berita Harian X