Khamis, 19 November 2020 | 9:32pm
 Aksi Rabih Ataya (jersi merah) ketika mewakili UiTM FC menentang PJ City dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam pada 2 Oktober lalu. - Foto BERNAMA.
Aksi Rabih Ataya (jersi merah) ketika mewakili UiTM FC menentang PJ City dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam pada 2 Oktober lalu. - Foto BERNAMA.

Rabih Ataya hangatkan spekulasi sertai Kedah

ALOR SETAR: Spekulasi mengenai pemain import kelahiran Lubnan, Rabih Ataya bakal menyertai pasukan Kedah terjawab apabila kelibat bekas tunggak UiTM FC itu dilihat berada di Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.

Kehadiran pemain itu bersama ejennya itu jelas memberi kejutan apabila bekas pemain kebangsaan Lubnan berusia 31 tahun ini seperti mengesahkan bakal memperkuatkan skuad Lang Merah musim depan.

"Rabih Ataya hadir ke Stadium Darul Aman pada hari ini (semalam) dan dalam proses untuk menandatangani kontraknya bersama Kedah untuk musim depan," kata satu sumber.

"Usaha mendapatkan khidmat Rabih Ataya sebagai import kuota Asia adalah bagi menggantikan tempat pemain import Amin Nazari yang tamat kontraknya pada musim ini,".

Ataya membuktikan kemampuannya di Liga M melalui kebolehan kawalan bola yang baik, hantaran bola pantas dan silang selain penyudah tajam. Dia menjaringkan dua gol bersama skuad The Lion Troops musim ini.

Kerjaya Ataya mula terserlah ketika mewakili kelab Ansar FC di Beirut antara 2008 hingga 2016 dengan membuat 88 penampilan di Liga Perdana Lubnan dan menjaringkan 20 gol. Selain itu dia juga membantu skuad 'Hijau Putih' itu dalam saingan Piala AFC pada 2013.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengadakan perjumpaan khas bersama semua pemain serta barisan jurulatih Kedah dua hari lalu sebagai penghargaan kepada mereka yang menyumbang kejayaan pada musim ini.

Berita Harian X