Ahad, 15 November 2020 | 5:51pm
Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar.
Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar.

Kedah masih perlukan Baddrol

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor masih mengharapkan sentuhan Baddrol Bakhtiar pada Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Sanusi menyifatkan kapten Kedah itu masih diperlukan pasukan untuk mencapai sasaran ditetapkan musim depan.

"Saya belum dapat apa-apa maklumat tentang Baddrol Bakhtiar dan saya harap dia akan terus kekal kerana khidmatnya masih diperlukan di Kedah. Orang bagus-bagus ni kita nak (mahu) la," kata Sanusi.

Berkaitan penyusunan pasukan untuk musim depan pula, Sanusi berkata ianya akan dibuat oleh FC (Kedah Darul Aman FC) dan bukan lagi oleh KFA.

"Saya pun tak ada apa-apa dalam FC tu kerana saham dalam FC ini KFA 20 peratus, dan MBI 80 peratus," katanya.

Berkenaan status pemain pertahanan Kedah Shakir Hamzah yang dikatakan akan meninggalkan pasukan, Sanusi berkata: "Saudara Shakir Hamzah ini kontraknya tamat musim ini dan dia datang bersama ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, dan mungkin dia ada pilihan di tempat lain.

"Kita pun tak boleh tahan dia kalau dia dapat tawaran yang lebih baik."

Berita Harian X