Khamis, 12 November 2020 | 10:18pm
Mohd Faisal Abdul Halim. - Foto NSTP
Mohd Faisal Abdul Halim. - Foto NSTP

Faisal sayu tinggal Pahang

KUANTAN: Selepas lima musim bersama Pahang akhirnya pemain lincah Mohd Faisal Abdul Halim mengucapkan selamat tinggal apabila kontraknya bersama skuad Tok Gajah tidak disambung musim depan.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, sebagai pemain profesional dia perlu menerima hakikat bahawa tidak selamanya dapat bermain dengan pasukan Tok Gajah selepas lima musim diharungi.

Kata Faisal, selama bersama skuad Pahang yang dibimbing Dollah Salleh, terlalu banyak pengalaman dikumpul sebagai bekalan mengharungi cabaran di pentas bola sepak tempatan selepas ini.

"Saya seronok bersama Tok Gajah selama lima musim, pahit dan manis beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) banyak dapat dikumpul hingga akhirnya berpeluang terpilih membawa cabaran pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

"Pengurusan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sentiasa menjaga kebajikan pemain, saya berbangga dapat menabur bakti dengan Tok Gajah," kata Faisal yang sedang meneliti tawaran beberapa pasukan baharu untuk saingan musim depan.

Dia yang terkenal dengan panggilan Mickey berkata, menyarung jersi Pahang menjadi kebanggaan walaupun tidak mampu memberi banyak kejayaan kepada pasukan, kepercayaan jurulatih untuk beraksi merupakan suatu penghargaan amat bererti dan membanggakan.

"Saya seronok bergandingan dengan barisan pemain import bertaraf bintang seperti Mohamadou Sumareh, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon.

"Saya doakan semoga Tok Gajah meniti kejayaan selepas ini," katanya.

Berita Harian X