Khamis, 5 November 2020 | 1:32pm
Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof. - Foto ihsan TheVocket.
Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof. - Foto ihsan TheVocket.

Azmeer sifatkan Kedah ada kelebihan ke atas Pahang

ALOR SETAR: Bekas pemain skuad Lang Merah, Azmeer Yusof meramalkan perlawanan sengit bakal berlaku antara Kedah dan Pahang pada pusingan pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini, malam esok.

Namun, pertahanan kental itu menyifatkan anak buah Aidil Sharin Sahak tetap memiliki kelebihan memenangi aksi berkenaan bersandarkan beberapa faktor termasuk kecergasan dan cukup rehat berbanding skuad Tok Gajah.

"Pada saya, faktor cukup rehat memberi sedikit kelebihan buat skuad Hijau Kuning untuk menang berbanding Pahang yang perlu menghabiskan lebih banyak masa dalam perjalanan ketika menuju ke sini.

"Selain itu, faktor beraksi di laman sendiri dapat menyumbang kelebihan untuk mereka bertambah yakin. Kita tahu slogan 'Kedah pantang kalah' bakal jadi pembakar semangat kepada pemain Kedah sebaik memasuki stadium keramat itu nanti.

"Saya pasti persediaan rapi sedang dilakukan oleh semua pemain, lebih-lebih lagi sokongan dan dokongan daripada pengurusan baharu bola sepak Kedah yang sebelum ini berjaya menyelesaikan segala masalah berkaitan isu tunggakan gaji," katanya.

Azmeer yang turut bersama Kedah di pentas akhir Piala Malaysia pada 2016 dan 2019 berkata segala isu yang sudah dapat diselesaikan itu akan juga memberi suntikan semangat kepada pemain untuk beraksi cemerlang.

"Ini cukup memberi perangsang buat Kedah, namun pemain perlu tetap berwaspada dan bijak mengambil peluang. Ini kerana kedua-dua pasukan pernah merekodkan keputusan terikat 3-3 dan 5-5 pada aksi musim lalu sekali gus menjadikan peluang 50-50 di atas kertas," katanya.

Azmeer kini bergelar usahawan muda dengan memiliki beberapa perniagaan antaranya rangkaian kedai gunting rambut AY Barbershop di sekitar utara selain buku kisah hidup dan giat membangunkan pusat tahfiz dan pengajian Al-Quran.

Berita Harian X