Ahad, 1 November 2020 | 5:08pm
Pengendali Terengganu FC II, Roshadi Wahab akui gembira selepas pasukannya mengakhiri Liga Perdana dengan muncul naib juara. - Foto Malik Muhamad
Pengendali Terengganu FC II, Roshadi Wahab akui gembira selepas pasukannya mengakhiri Liga Perdana dengan muncul naib juara. - Foto Malik Muhamad

Roshadi gembira TFC II naib juara Liga Perdana

KUALA TERENGGANU: Nada gembira diluahkan pengendali Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab selepas pasukan bimbingannya sah bergelar naib juara Liga Perdana musim ini susulan kekalahan 0-2 Kuala Lumpur kepada Kuching FA malam tadi.

Bagaimanapun bekas pertahanan kental Terengganu itu menegaskan kejayaan pasukannya tidak datang bergolek ataupun ihsan pasukan lain, sebaliknya usaha keras semua pemain dan juga sokongan padu daripada barisan jurulatih dan juga pihak pengurusan.

Beliau gembira selepas pasukannya yang berstatus 'feeder club' itu mencapai sasaran ditetapkan iaitu berada di kelompok tiga terbaik liga.

"Rezeki dan bonus buat pasukan yang berjaya mengekalkan kedudukan kedua teratas liga sekali gus sasaran awal kita tercapai.

"Namun saya akui pencapaian ini bukan mudah untuk diraih apatah lagi dunia termasuk Malaysia berdepan pandemik COVID-19 sehingga liga terpaksa ditangguhkan selama lima bulan sekali gus mengganggu rentak pasukan yang ketika itu mendahului carta liga.

"Namun dengan kesungguhan pemain, kita berjaya membuktikannya walaupun kita tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia kerana berstatus 'feeder club'," kata Roshadi yang turut dibantu legenda Terengganu, Sapian Wahid mengendalikan pasukan itu.

Berkenaan khidmatnya bersama skuad The Turtles musim depan terutama selepas berjaya membantu pasukan menghuni tempat kedua berbanding keempat musim lalu, Roshadi menyerahkan kedudukannya kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

"Secara jujurnya saya masih berminat untuk membimbing pasukan ini (TFC II) pada musim depan, apatah lagi jika dilihat prestasi pemain terutamanya pemain muda tempatan kian meningkat.

"Lagipun setakat ini saya belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat saya.

"Namun semuanya bergantung kepada pihak pengurusan yang dijangka akan membuat keputusan dalam kongres Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang akan diadakan pada awal Disember depan," katanya.

Berita Harian X