X
Selasa, 6 Oktober 2020 | 7:48am
Eric Maxim Choupo-Moting ketika beraksi bersama PSG dalam perlawanan Ligue 1 Perancis pada 26 Ogos lalu. Pemain sayap juara liga Perancis itu menyertai Bayern bagi tempoh setahun. - Foto AFP
Eric Maxim Choupo-Moting ketika beraksi bersama PSG dalam perlawanan Ligue 1 Perancis pada 26 Ogos lalu. Pemain sayap juara liga Perancis itu menyertai Bayern bagi tempoh setahun. - Foto AFP

Bayern ikat bekas penyerang PSG

BERLIN: Bayern Munich mengesahkan perpindahan bekas penyerang Paris Saint Germain (PSG), Eric Maxim Choupo-Moting dan kepulangan sayap Brazil, Douglas Costa yang dipinjamkan sebelum ini kepada Juventus, dengan kedua-duanya mengikat kontrak selama setahun.

Choupo-Moting diambil bagi menjadi pemain pelapis kepada penyerang kelab juara Eropah itu, Robert Lewandowski. Pada Ahad lalu, Bayern turut mengikat pemain perancang Espanyol, Marc Roca dengan kontrak selama lima tahun.

Costa, 30, pula bakal bersaing untuk merebut tempat di bahagian sayap pasukan dengan pemain sedia ada seperti Serge Gnabry, Kingsley Coman dan Leroy Sane.

Choupo-Moting, 31, yang sebelum ini tamat kontrak dengan PSG pernah beraksi dalam saingan Bundesliga menerusi kelab Hamburg, Nuremberg, Mainz dan Schalke.

"Sangat teruja dapat kembali ke saingan Bundesliga dan menyertai kelab terbesar di Jerman," kata pemain antarabangsa Cameroon itu dalam satu kenyataan.

"Siapa tidak mahu beraksi bersama Bayern? Bagi saya, ia satu penghormatan. Sasaran Bayern adalah sentiasa untuk menang semuanya dan saya bermotivasi tinggi untuk mencapai sasaran berkenaan,".

Bayern juga mengumumkan Costa yang beraksi bersama kelab itu antara 2015 hingga 2017 dengan menjaringkan 14 gol menerusi 77 perlawanan, kembali ke Munich di mana dia pernah memenangi kejuaraan liga pada musim 2015-2016 dan selepas itu.

Dalam pada itu, mengikut satu laporan lain menyatakan Bayern juga ingin mendapatkan bek kanan, Bouna Sarr daripada Marseille sebelum berakhirnya tempoh perpindahan di negara berkenaan hari ini.

Sebelum ini kelab Bavarian itu turut berhajat mendapatkan pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi, 19, namun terbantut selepas tiada persetujuan daripada kedua-dua pihak.

Terdahulu, pengendali Bayern, Hansi Flick tidak berahsia untuk mendapatkan bintang baharu selepas kehilangan tiga pemain skuad yang memenangi gelaran Liga Juara-Juara musim lalu iaitu Philippe Coutinho, Ivan Perisic dan Thiago Alcantara. - AFP

Berita Harian X