Ahad, 4 Oktober 2020 | 6:41pm
Penyerang import Kedah, Kipre Tchetche sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini dalam saingan Liga Super. - Foto ihsan Kedah FA.
Penyerang import Kedah, Kipre Tchetche sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini dalam saingan Liga Super. - Foto ihsan Kedah FA.

Tchetche lebih utamakan kemenangan Kedah

ALOR SETAR: Penyerang import, Kedah Kipre Tchetche mahu melupakan seketika kejayaan menjaringkan tujuh gol setakat ini dalam kempen Liga Super, sebaliknya tekad membantu skuad Lang Merah mengutip mata penuh apabila berdepan Melaka United di ibu negara, malam esok.

Penyerang kelahiran Ivory Coast ini mengakui jumlah jaringan itu tetap memberi lonjakan motivasi buat dirinya, namun sasaran tiga mata buat pasukan lebih penting bagi memastikan skuad Lang Merah dapat kembali kekal di tempat kedua carta Liga Super musim ini.

"Saya bersyukur kerana dapat membantu Kedah dan menghasilkan jumlah tujuh gol setakat ini. Tetapi apa yang lebih penting buat saya adalah kejayaan pasukan mendapatkan kemenangan memandangkan saingan sangat sengit untuk merebut tempat kedua liga.

"Sebagai penyerang, memang tugas saya mencari seberapa banyak gol, namun saya tidak meletakkan kepentingan jaringan peribadi sebagai perkara utama kerana usaha secara berpasukan merupakan aspek lebih penting bagi merealisasikan impian kemenangan buat pasukan," katanya.

Kipre mengakui beliau memikul tugas penting bersama Kpah Sherman dalam mengatur serangan Kedah dan melalui dua perlawanan terakhir Liga Super ini bakal menjadi medan terbaik untuk dirinya membuktikan ketajaman.

"Kekalahan kepada Pahang sebelumnya membuka ruang untuk Kedah bangkit kembali biarpun terpaksa beraksi di gelanggang berkecuali. Justeru, kami tidak mahu silap lagi apabila bertemu Melaka United," katanya.

Selain Kipre, Kpah Sherman yang juga penyerang import Liberia sudah menjaringkan lima gol.

Berita Harian X