Jumaat, 2 Oktober 2020 | 11:36pm
Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2020 selepas menewaskan Sabah dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. JDT mengekalkan kejuaraan mereka buat kali ketujuh berturut-turut sejak tahun 2014. - Foto BERNAMA
Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2020 selepas menewaskan Sabah dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. JDT mengekalkan kejuaraan mereka buat kali ketujuh berturut-turut sejak tahun 2014. - Foto BERNAMA

JDT kini juara kali ketujuh berturut-turut

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Lebih manis kejayaan itu digapai di stadium baharu skuad Harimau Selatan yang menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Walaupun saingan liga terpaksa dipendekkan dengan hanya aksi satu pusingan akibat pandemik COVID-19 sejak pertengahan Mac lalu yang mengakibatkan jadual perlawanan liga terpaksa ditangguhkan namun senario itu tidak menghalang skuad kendalian Benjamin Mora mengukuhkan cengkaman di persada liga tatkala aksi berbaki satu perlawanan lagi.

Dengan kejayaan itu, maka terpahat di dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila JDT adalah satu-satunya pasukan yang menjuarai liga tujuh musim berturut-turut sekali gus agak mustahil buat mana-mana pasukan mampu menyaingi pencapaian pasukan itu.

Kesungguhan skuad Harimau Selatan yang inginkan kemenangan bermula dengan gerakan berbahaya seawal minit kesembilan apabila bola umpanan Diogo Luis Santo menyaksikan Safawi Rasid bingkas merembat bola leret tapi penjaga gol, Rozaimie Rohim bersedia menangkap bola kemas.

Pemain JDT, Safawi Rashid dihalang dua pemain Sabah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Foto KHIS/Zain Ahmed
Pemain JDT, Safawi Rashid dihalang dua pemain Sabah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Foto KHIS/Zain Ahmed

Tuan rumah terpaksa menanti pada minit ke-38 untuk merungkai jaringan selepas bola umpanan Afiq Fazail berjaya disambar Diogo dan bola masuk menewaskan Rohaimie yang tidak berada dikedudukan terbaik bagi mengelak gawang dibolosi.

Bersambung babak kedua, skuad Tambadau yang ketinggalan tampak menyusun gerakan memburu gol penyamaan namun benteng tuan rumah yang dikawal Mauricio Santos dan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak masih ampuh mengelak gawang dibolosi.

Skuad Harimau Selatan menambah derita pelawat pada minit ke-56 selepas bola rembatan deras Safawi di luar kotak penalti selepas menerima bola umpanan Leandro Velazquez memerangkap Rohamie yang hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Namun JDT tersentap dengan jaringan pelawat pada minit ke-74 selepas Dennis Buschening yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias untuk merapatkan jurang gol.

Gandingan pemain gantian Ramadhan Saifullah Usman bersama Safawi pada minit ke-81 mencetuskan gol ketiga buat tuan rumah selepas bola tolakan Ramadhan yang merencanakan gerakan di dalam kotak penalti membuka ruang untuk Safawi menolak bola ke gawang yang kosong.

Hasil sepakan percuma Leandro Velazquez selang tiga minit kemudian memastikan JDT memenangi perlawanan itu dengan kemenangan 4-1 sekali gus dinobatkan selaku juara liga tujuh musim berturut-turut.

Berita Harian X