Sabtu, 19 September 2020 | 10:25am
- Foto dailymail.co.uk
- Foto dailymail.co.uk

Chelsea mampu calar ego Liverpool

Aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu menyaksikan lapan pasukan mencatatkan kemenangan termasuk juara bertahan, Liverpool. Tiada keputusan seri direkodkan manakala dua aksi ditangguhkan.

Paling menyerlah sudah tentu Arsenal, apabila menang 3-0 ke atas Fulham di Stadium Craven Cottage untuk sekali gus mengungguli carta liga. Liverpool pula menduduki tangga keenam selepas membenam Leeds United 4-3 di Anfield.

Dua aksi ditangguhkan minggu lalu membabitkan aksi Manchester City-Aston Villa dan Burnley-Manchester United. Penangguhan itu diberikan berikutan City dan United mendapaat rehat susulan terbabit saingan suku akhir Liga Juara-Juara serta separuh akhir Liga Europa.

Minggu ini, jadual perlawanan kembali normal dengan 10 aksi bakal disajikan. Dan sudah pasti aksi tumpuan membabitkan skuad bimbingan Frank Lampard, menentang barisan Jurgen Klopp di Stamford Bridge, lewat malam esok.

Kehangatan perlawanan ini mula didengar sejak berakhirnya aksi pertama minggu lalu dengan meletusnya perang mulut pembimbing Chelsea dan Liverpool itu.

Baik The Blues atau The Reds, aksi ini sangat penting buat mereka dalam

usaha menunjukkan prestasi sebenar musim ini. Pada perlawanan pertama, Chelsea menjinakkan Brighton 3-1.

Dengan kedua-dua pasukan dilihat gagal menonjolkan persembahan meyakinkan selepas bergelut untuk menang seperti kesilapan bodoh penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga dan jaringan minit akhir Mohamed Salah untuk Liverpool, mereka tiada pilihan kecuali bangkit aksi ini.

Lampard mungkin mengharapkan penampilan sulung Thiago Silva untuk memberi nafas kepada The Blues bagi mencalar ego lawannya itu, manakala Klopp dijangka bergantung harap kepada Thiago Alcantara andai disenaraikan.

Jika kita imbas rekod lalu, Liverpool hanya tewas sekali dalam tempoh enam tahun di Stamford Bridge iaitu 0-1 pada Mei 2018. Musim lalu, mereka menang 2-1 menerusi jaringan Alexander-Arnold dan Roberto Firmino

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah di Anfield pada 22 Julai lalu iaitu pada hari kapten Jordan Henderson menjulang trofi EPL buat Liverpool. Dalam aksi dianggap `gila' itu', Liverpool menang 5-3.

Jadi adakah malam gemilang Liverpool itu akan berulang lagi atau menjadi mangsa The Blues? Tentunya Lampard dan Klopp sudah ada strategi dalam usaha mencipta kemenangan kedua.

Dalam pada itu City akan berkunjung ke Stadium Molineux bertemu Wolves dalam satu lagi aksi yang dianggap `panas' manakala jiran mereka, United menerima kunjungan Crystal Palace yang dianggap penting bagi mengukur kemampuan Ole Gunnar Solksjaer musim ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Kedua
Everton 3 West Bromwich 0
Leeds United 2 Fulham 0
Man United 3 C Palace 1
Arsenal 2 West Ham 0
Southampton 1 Tottenham 1
Newcastle 2 Brighton 1
Chelsea 2 Liverpool 1
Leicester 2 Burnley 1
Aston Villa 1 Sheffield 1
Wolves 1 Man City 1

Berita Harian X