Sabtu, 12 September 2020 | 11:07am
JOSE Mourinho berharap Spurs kendaliannya mampu mengharungi jadual padat awal musim. - Foto AFP
JOSE Mourinho berharap Spurs kendaliannya mampu mengharungi jadual padat awal musim. - Foto AFP

Mourinho resah jadual padat Spurs

LONDON: Pengendali Tottenham Jose Mourinho menganggap jadual padat bakal dihadapinya kelabnya tidak masuk akal - tetapi dia bertekad memberi usaha terbaiknya pada setiap pertandingan.

Dengan pengerusi kelab Daniel Levy menuntut Mourinho meraih trofi musim ini, tugas sukar menanti pengendali berusia 57 tahun itu yang terpaksa mengharungi jadual padat pada minggu-minggu awal permulaan musim.

Termasuk aksi kelayakan Liga Europa dan Piala Liga, Tottenham berdepan sembilan perlawanan dalam tempoh 24 hari.

"Jika saya terlalu memikirkannya, saya akan kemurungan. Saya mahu menghadapi setiap perlawanan dengan positif.

"Tetapi apabila saya bertanya kepada pemain-pemain, siapa yang sanggup mengharungi sembilan perlawanan ini untuk tempoh penuh 90 minit - tiada yang sanggup.

"Ia satu risiko besar untuk cita-cita kami, kerana anda pasti akan kalah dalam salah satu perlawanan ini.

"Liga Perdana anda boleh tewas dan kekal dalam saingan, tetapi jika anda tewas di Liga Europa, anda tersingkir. Tewas di Piala Carabao (Piala Liga), anda tersingkir. Risikonya besar.

"Kecederaan sudah tentu (satu risiko). Ia sesuatu yang unik. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Mourinho.

Spurs memulakan kempen Liga Europa dengna menentang Lokomotiv Plovdiv pada 17 September, sebelum bertemu pemenang antara Leyton Orient dan Plymouth Argyle di pusingan ketiga Piala Liga. - AGENSI

Berita Harian X