Jumaat, 11 September 2020 | 5:09pm
 Jurulatih B-19 kebangsaan, Brad Maloney ketika mengendalikan sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Julai lalu. - Foto NSTP/ Aswadi Alias
Jurulatih B-19 kebangsaan, Brad Maloney ketika mengendalikan sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Julai lalu. - Foto NSTP/ Aswadi Alias

FAM susun semula perancangan skuad B-19

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyusun semula perancangan skuad bawah 19 (B-19) tahun susulan penundaan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke awal tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan penyusunan semula program untuk skuad itu bagi disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

"Dengan berita penangguhan ini, kem latihan pusat Fasa 3 yang sepatutnya diadakan sepanjang September ini dibatalkan. Begitu juga dengan perlawanan persahabatan yang sudah dirancang sebelum ini.

"Ini bermakna, selepas berakhirnya kem latihan pusat Fasa 2 pada 29 Ogos 2020, pemain dilepaskan terus untuk mereka kembali ke pasukan negeri atau kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan Liga Super 2020 dan Liga Perdana 2020.

"Di pihak Sekretariat FAM, kita akan menyusun semula perancangan pasukan bersama dengan pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kita akan maklumkan nanti kepada peminat dan juga pihak media," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, AFC mengumumkan penundaan kejohanan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney menerima berita penangguhan itu dengan nada positif biarpun pasukannya sudah pun melakukan persiapan awal sejak dari kem latihan pusat Fasa 1 bermula 6 Julai lalu.

"Sesuatu yang cukup baik untuk pasukan ini apabila kami dapat berlatih bersama sepanjang kem latihan pusat Fasa 1 dan Fasa 2.

"Tapi apabila pengumuman penangguhan ini dibuat oleh pihak AFC demi kesihatan dan keselamatan semua pemain dan pegawai pasukan terbabit, kita perlu menghormatinya," katanya.

Kejuaraan B-19 AFC sepatutnya berlangsung bulan depan di Uzbekistan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman.

Berita Harian X