KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sah menunda kejuaraan bawah 19 (B-19) yang dijadualkan di Uzbekistan, Oktober ini ke tahun depan susulan pandemik COVID-19.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John selepas mesyuarat badan induk itu hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tarikh baharu untuk kejohanan itu berlangsung tahun depan masih belum diputuskan.
"Jawatankuasa mengambil kira keselamatan dan kesihatan pemain sebelum menunda pertandingan ke tahun depan.
"Tarikh baharu akan dibincangkan dengan tuan rumah dan pasukan lain. (Kejohanan) ini adalah kelayakan ke Piala Dunia B-20, jadi kita kena anjurkan sebelum kejohanan itu diadakan," katanya, hari ini.
Kejuaraan AFC B-19 sepatutnya berlangsung bulan depan menawarkan empat slot automatik ke Piala Dunia B-20 di Jakarta pada Mei hingga 12 Jun 2021.