Selasa, 25 Ogos 2020 | 12:28pm
PEMAIN tengah dari Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal. - Foto FAM
PEMAIN tengah dari Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal. - Foto FAM

Wan Kuzri 'selamat'

KUALA LUMPUR: Peluang pemain tengah dari Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal membarisi skuad akhir ke Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan, Oktober ini tampak seakan sudah terjamin.

Ini selepas pengendali skuad B-19, Brad Maloney memberi bayangan dia memerlukan khidmat pemain Akademi Bolasepak St Loius itu untuk membantu skuad negara dan tampak berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain itu setakat ini.

"Dia pemain yang berbakat, mampu melakukan hantaran dengan baik, memiliki etika kerja dan sikap yang baik. Sudah tentu dia akan menjadi aset yang berharga buat pasukan ini.

"Posisinya pemain tengah dan dengan apa yang saya lihat setakat ini, dia beraksi dengan baik, dia ada persefahaman dengan rakan sepasukan serta hantarannya pun bagus. Dia prospek yang baik untuk posisi itu," katanya.

Terdahulu, adik kepada Wan Kuzain itu antara dua pemain berpangkalan di luar negara yang dipanggil menyertai kem latihan pusat fasa dua selain Zachry Raiff Ghazie Yeoh yang beraksi bersama Akademi Bolasepak Brooke House College.

Pada masa sama, Maloney menjelaskan tiada masalah yang timbul buat Kuzri menyesuaikan diri bersama pasukan meskipun pemain itu berdepan cabaran masalah bahasa.

"Dia memang agak pendiam, jadi kita sentiasa membantu dia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Lebih lama dia di sini, lebih baik untuk dia menyesuaikan diri. Pemain lain pun menerima dia dengan baik," katanya.

Sebagai rekod, pusingan akhir di Uzbekistan menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Tajikistan, Qatar dan Yemen dengan semua aksi akan berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.

Berita Harian X