Jumaat, 14 Ogos 2020 | 11:59am
Jurulatih RB Leipzig, Julia Nagelsmann. - Foto AFP
Jurulatih RB Leipzig, Julia Nagelsmann. - Foto AFP

Nagelsmann teruja untuk bertemu mentor

subheading: Tuchel individu yang memberi peluang kepada Nagelsmann memulakan kerjaya dalam bidang kejurulatihan

LISBON: Jurulatih RB Leipzig, Julia Nagelsmann berkata dia tidak sabar untuk bertemu bekas mentornya yang juga pengendali Paris Saint-Germain (PSG) Thomas Tuchel apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Terdahulu, anak buah Nagelsmann mencipta sejarah apabila buat kali pertama mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan Atletico Madrid 2-1 dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.

Leipzig yang ditubuhkan pada 2009 mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik menerusi gol kemenangan yang dijaringkan Tyler Adams pada minit ke-88.

Gol berkenaan memastikan kemenangan kelab Jerman itu selepas sepakan penalti Joao Felix berjaya memadamkan gol pembukaan hasil tandukan Dani Olmo pada awal separuh masa kedua.

Jurulatih PSG, Tuchel, 46, adalah individu yang memberi peluang kepada Nagelsmann untuk memulakan kerjayanya 12 tahun lalu di Augsburg yang mana ketika itu dia bermula sebagai ejen pencari bakat sebelum menjadi jurulatih.

"Mereka adalah pasukan yang hebat bersama jurulatih hebat. Saya sering bermain (sebagai jurulatih) dengannya (Tuchel) tapi jarang menang.

"Ia perlu diubah sekarang. Saya tetap akan gembira sekiranya kami menang dengan corak permainan buruk," kata Nagelsmann, 33, yang terpaksa menamatkan kerjaya sebagai pemain pada 2008 susulan kecederaan lutut.

Ketika menjadi jurulatih Hoffenheim, Nagelsmann tewas dua kali dan seri sekali berdepan Tuchel, yang membimbing Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga di antara 2016 hingga 2017. - AFP

Berita Harian X