Khamis, 13 Ogos 2020 | 7:09am
Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini. - Foto AFP
Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini. - Foto AFP

Gasperini kecewa Atalanta tewas saat akhir

LISBON: Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini mengakui kecewa menyaksikan skuad bimbingannya terlepas peluang terbaik bagi melakar sejarah selepas tewas di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kelab Itali itu mendahului 1-0 sehingga minit ke-89 tetapi tersingkir daripada saingan utama Eropah itu menerusi jaringan minit akhir dua pemain PSG, Marquinhos dan Eric Choupo-Moting.

"Saya perlu katakan yang saya kecewa kerana kami sangat hampir (untuk mara ke separuh akhir). Ia pada awalnya kelihatan seperti kami akan melakar pencapaian yang hebat.

"Namun, kami perlu jadikan ini sebagai pengajaran. Yang penting, kami menunjukkan peningkatan dalam saingan Liga Juara-Juara," kata Gasperini.

Kekalahan di tangan PSG itu disifatkan penamat sangat 'kejam' buat Atalanta selepas cemerlang dalam saingan musim ini.

Pemain Atalanta, Mario Pasalic (kanan) diasak pemain PSG, Juan Bernat pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
Pemain Atalanta, Mario Pasalic (kanan) diasak pemain PSG, Juan Bernat pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP

Anak buah Gasperini menamatkan saingan Serie A di tangga ketiga untuk musim kedua berturut-turut dan menjaringkan 98 gol dalam saingan utama Itali itu.

Kemasukan Kylian Mbappe pada babak kedua nyata merubah permainan PSG yang tampil lebih bertenaga dan ia diakui oleh Gasperini.

"Apabila Mbappe masuk dan bergandingan dengan Neymar, corak permainan PSG mula berubah.

"Kemasukannya memberi tenaga buat PSG yang sebelum itu hampir tewas. Mbappe adalah kunci utama dalam perlawanan ini," katanya. - AFP

 

 

Berita Harian X