Khamis, 13 Ogos 2020 | 7:04am
PEMAIN PSG, Marquinhos meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
PEMAIN PSG, Marquinhos meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP

Liga Juara-Juara: PSG mara ke separuh akhir

LISBON: Bintang sensasi Brazil, Neymar menegaskan Paris Saint-Germain (PSG) sentiasa percaya mereka mampu untuk bangkit bagi menewaskan Atalanta dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

"Saya tidak pernah terfikir kami akan pulang awal. Dari mula sehingga tamat perlawanan, kami hanya fikir untuk layak ke separuh akhir," kata pemain termahal dunia itu.

Pemain gantian, Eric Choupo-Moting muncul wira apabila meledak gol kemenangan PSG pada minit ke-93 sekali gus melakar kemenangan 2-1 ke atas Atalanta.

Terdahulu, Mario Pasalic membuka tirai jaringan buat Atalanta pada minit ke-27 tetapi Marquinhos menjadi penyelamat PSG apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90.

PEMAIN PSG, Eric Choupo-Moting menanduk bola dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
PEMAIN PSG, Eric Choupo-Moting menanduk bola dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP

Juara Perancis itu akan menentang pemenang perlawanan antara RB Leipzig dengan Atletico Madrid bagi perebutan tempat ke final.

"Tiada siapa boleh menghalang saya daripada memikirkan untuk layak ke final.

"Kami memiliki sebuah pasukan yang hebat, kami adalah sebuah keluarga. Kami perlu sentiasa berfikiran positi dan dengan cara ini, ia akan membantu kami untuk melangkah lebih jauh.

"Kami sentiasa yakin biarpun selepas ketinggalan. Kami percaya kami boleh bangkit dan selepas menjaringkan gol penyamaan, kami tahu kami boleh menjaringkan gol kemenangan," kata Neymar.

Ini adalah kali pertama PSG layak ke separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1995. - AFP

PEMAIN PSG, Eric Choupo-Moting meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
PEMAIN PSG, Eric Choupo-Moting meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP

Berita Harian X