Ahad, 9 Ogos 2020 | 3:20pm
Jurulatih bola sepak bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Brad Maloney (kiri) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM. - NSTP/Ihsan FAM
Jurulatih bola sepak bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Brad Maloney (kiri) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM. - NSTP/Ihsan FAM

Perebutan posisi tengah skuad B-19 kebangsaan dijangka sengit

KUALA LUMPUR: Latihan fasa kedua skuad bawah 19 (B-19) tahun negara yang bermula Isnin lalu menyaksikan saingan sengit antara 'jeneral tengah' bagi perebutan tempat di posisi itu.

Ini jika berdasarkan kepada senarai 30 pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila ketua jurulatih, Brad Maloney menyenaraikan lebih separuh pemain tengah.

Namun, terdapat juga pemain tengah yang dipanggil Maloney itu boleh beraksi di posisi lain seperti Amirul Akmal Safarinizam di bahagian serangan.

Bagi Zachry Raiff Ghazie Yeoh, dia tidak menganggap kehadiran ramai pemain tengah dalam skuad itu pada latihan kali ini sebagai halangan besar untuknya memikat hati Maloney.

Sebaliknya, pemain Brooke House Football Academy itu menjelaskan semua pemain memberikan persaingan yang sihat untuk menempatkan diri dalam skuad akhir ke Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

"Saya sedar terdapat ramai pemain tengah dan persaingan untuk posisi itu sangat sengit, namun saya sudah bermain di pelbagai posisi ketika latihan fasa satu termasuk sebagai pertahanan tengah.

"Jadi, saya harap ia boleh menjadi kelebihan bagi saya kerana ia menunjukkan kepelbagaian saya sebagai pemain untuk bermain di beberapa posisi berlainan.

"Wan Ahmad Kuzri (Wan Ahmad Kamal) adalah pemain yang sangat baik dan dia pasti pemain yang boleh bermain di bahagian tengah itu.

"Kami mempunyai persaingan yang sihat dan kami berdua saling mendorong sesama sendiri untuk mendapatkan persembahan yang terbaik. Semoga kami berdua berjaya mendapat tempat dalam skuad terakhir untuk ke Uzbekistan," katanya.

Berita Harian X