Sabtu, 8 Ogos 2020 | 9:23pm
PENGENDALI Juventus, Maurizio Sarri.
PENGENDALI Juventus, Maurizio Sarri.

Juventus pecat Sarri sebagai jurulatih

TURIN, Itali: Juventus memecat Maurizio Sarri dengan Mauricio Pochettino disebut-sebut sebagai pengganti yang berpotensi sebagai pengendali baharu kelab itu.

Pengendali berusia 61 itu dipecat sehari selepas pasukannya tersingkir dari Liga Juara-Juara.

"Maurizio Sarri dilepaskan daripada jawatannya sebagai jurulatih pasukan utama," kata kenyataan Juventus yang juga juara sembilan kali Serie A, di sini, sebentar tadi.

Sarri memenangi gelaran Serie A hanya satu musim bersama gergasi Itali itu, namun kegagalan di saingan Eropah terbukti membawa padah.

Menurut Sportitalia, skuad Old Lady mahu Pochettino untuk mengambil alih tugas di Stadium Allianz.

Bekas bos Tottenham itu ketika ini tidak mempunyai kelab selepas meninggalkan White Hart Lane pada November lalu.

Laporan tempatan mendakwa Juventus sudah menghubungi pengendali dari Argentina itu berkaitan jawatan pengurus.

Presiden Juventus, Andrea Agnelli didakwa melihat Zinedine Zidane yang turut tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara sebagai calon utama menggantikan tempat Sarri.

- AGENSI

Berita Harian X