Rabu, 22 Julai 2020 | 6:54pm
Wan Ahmad Kuzri (kanan) ketika latihan pusat skuad B-19 di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
Wan Ahmad Kuzri (kanan) ketika latihan pusat skuad B-19 di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.

Wan Kuzri mungkin tak dipanggil latihan fasa dua

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah (B-19) tahun negara, Brad Maloney mengakui perlu mempertimbangkan beberapa perkara untuk memanggil semula Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal menyertai kem latihan pusat fasa dua yang dijangka diadakan bulan depan.

Ia termasuk perbincangan bersama kelab pemain berusia 18 tahun itu di Amerika Syarikat selain faktor beberapa prosedur membabitkan pandemik COVID-19.

"Saya perlu bincangkan perkara ini, kerana dia mungkin terpaksa kembali kepada kelab. Kami harus mempertimbangkan beberapa perkara seperti keperluan kuarantin akibat pandemik, dan banyak faktor yang harus dipertimbangkan.

"Kami juga perlu bekerjasama bersama dia dan kelabnya untuk mendapatkan penyelesaian terbaik jika dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad untuk latihan pusat yang akan datang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Wan Kuzri yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyertai latihan bersama skuad negara sejak Khamis lalu selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari dan latihan pusat fasa satu akan berakhir Ahad ini.

Selain itu, Maloney mengesahkan pasukannya tidak akan mengadakan sebarang aksi persahabatan sepanjang kem latihan fasa satu.

"Kami memang mempertimbangkan untuk mengadakan aksi persahabatan, tapi selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan dan melihat reaksi daripada pemain, kami belum bersedia mengharungi perlawanan.

"Jadi, untuk latihan pusat kali ini kami tidak akan adakan sebarang aksi persahabatan, teruskan latihan dan mungkin pada kem latihan seterusnya kami akan aturkan aksi persahabatan.

"Kami ada masa untuk menilai pemain mana yang patut dipanggil semula atau tidak (untuk latihan pusat seterusnya)," katanya.

Berita Harian X