Rabu, 15 Julai 2020 | 7:10pm
Maloney memberi tunjuk ajar kepada anak buahnya ketika sesi latihan di padang Wisma FAM, hari ini. - FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
Maloney memberi tunjuk ajar kepada anak buahnya ketika sesi latihan di padang Wisma FAM, hari ini. - FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.

Wan Kuzri tunjuk skil esok

KUALA LUMPUR: Pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal dijangka menjalani latihan pertama bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, esok.

Mengesahkan perkara itu, pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata Wan Kuzri sudah menjalani ujian calitan kali kedua hari ini.

"Saya ingin umumkan, esok Wan Kuzri akan bersama pasukan selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari. Insya-Allah dia akan jalani latihan buat kali pertama.

"Hari ini dia buat ujian calitan kedua dan saya dimaklumkan esok dia akan potong gelang kuarantin dan harap semua berjalan lancar," katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad B-19, hari ini.

Wan Kuzri yang juga adik kepada Wan Kuzain dicanang sebagai antara pemain yang mampu memperkuatkan lagi skuad muda negara menghadapi Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

Dalam perkembangan sama, skuad kendalian Brad Maloney memulakan latihan bersentuhan, hari ini selepas sembilan hari menjalani latihan tanpa sentuhan.

Malah, perkara itu tampak menggembirakan Maloney yang sudah pasti boleh membuat perancangan lebih rapi dalam memilih barisan pemain terbaik untuk ke Uzbekistan nanti.

"Ini satu langkah positif yang mana kita boleh jalani latihan normal dengan kontak penuh yang sudah lama kita tunggu dan saya lihat pemain sangat dahagakan sesi latihan seperti ini," katanya Maloney.

"Kita dalam perbincangan mengenai perlawanan persahabatan dan tiada keputusan muktamad yang dibuat setakat ini. Memang kita harap begitu (sekurang-kurangnya dapat adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan) tapi masih dalam perbincangan," katanya.

Berita Harian X