Selasa, 14 Julai 2020 | 2:13pm
Presiden baharu KFA, Muhammad Sanusi Md Nor.
Presiden baharu KFA, Muhammad Sanusi Md Nor.

'Kemasukan Sanusi bakal perkasakan KFA'

ALOR SETAR: Berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan menjadi harapan pentadbiran baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terutama dalam usaha memacu skuad Lang Merah mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.

Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali yakin gabungan terbaik bersama presiden baharu yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang mesra dan mudah didekati bersama legenda bola sepak Kedah Radhi Mat Din sebagai naib presiden, mampu memperkasakan lagi pentadbiran sedia ada.

"Saya yakin dengan kemasukan presiden dan naib presiden baharu ini, KFA akan ditadbir dengan lebih telus, terbuka dan mungkin lebih banyak yang kita dapat sama-sama salurkan kepada pasukan berbanding sebelum ini.

"InsyaAllah selaku naib presiden, saya akan bekerja bersama sebagai satu kumpulan. Kita mahu laksanakan perancangan secara bersama dan bukan keputusan secara individu.

"Saya dan Radhi adalah bekas pemain sebelum menjadi naib presiden. Jadi sudah pasti pengalaman satu masa dulu itu akan digunakan bagi membantu presiden untuk kebaikan serta hala tuju pengurusan KFA dan pasukan.

Khamal yang juga juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Kedah (KEFA) bagaimanapun berharap segala permasalahan yang kini menjadi isu termasuk tunggakan gaji pemain akan segera diatasi selepas KFA mengadakan mesyuarat pertamanya bersama presiden dalam tempoh terdekat ini.

Berita Harian X