Sabtu, 11 Julai 2020 | 10:17am

Baki empat aksi EPL bakal lebih 'panas'

Akhirnya Chelsea berjaya juga merampas tempat ketiga daripada Leicester City pada pertengahan minggu. Ini susulan The Foxes terikat 1-1 menentang Arsenal di Emirates tatkala The Blues berjaya mencuri tiga mata dari Selhurst Park, selepas mengatasi tuan rumah, Crystal Palace, 3-2.

Leicester sebelum ini menduduki tempat ketiga ketika saingan ditangguhkan pertengahan Mac lalu. Namun prestasi mereka yang merudum selepas itu menyaksikan anak buah Frank Lampard pantas mengambil peluang. Posisi ini, selain juara, kedua dan keempat menjanjikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah pun menjadi milik Liverpool yang ketika ini memburu rekod maksimun 104 mata berdepan baki empat aksi manakala Manchester City di kedudukan kedua dengan 69 mata. City sebelum ini adalah penyandang juara, namun tidak akan beraksi di Eropah akibat penggantungan.

Pun begitu, kedudukan ketiga The Blues ini masih tidak selesa apabila hanya mendahului Leicester dengan kelebihan satu mata selepas menghimpun 60 mata dan Manchester United, ditempat kelima, ketinggalan dua mata.

Menelurusi baki aksi seterusnya jelas bukanlah mudah buah skuad Lampard. Minggu ini, mereka akan bertandang ke Bramall Lane bertemu satu lagi pasukan yang turut memasang impian ke Eropah - Sheffield United. Sheffield ketika ini menduduki tangga ketujuh liga, ketinggalan sembilan mata di belakang Chelsea.

Aksi seterusnya pada 16 Julai menentang Norwich City dilihat mudah, namun seminggu selepas itu barulah ujian sebenar menanti mereka apabila dijadual bertemu Liverpool di Anfield, sebelum disusuli pasukan di tangga keenam, Wolves di laman sendiri.

Dan sebelum bertandang ke laman The Reds, skuad The Blues akan ke Old Trafford pada 20 Julai bagi saingan separuh akhir Piala FA. Namun, Leicester juga berdepan tugas berat apabila bakal berdepan Sheffield, Tottenham dan United selain pasukan zon penyingkiran, Bournemouth selepas ini.

United pula dianggap bernasib baik apabila bakal berdepan pasukan lebih mudah iaitu Southampton, Palace, West Ham sebelum mengakhirinya dengan berdepan Leicester. Wolves yang menghimpun 52 mata untuk menduduki tangga keenam liga, bakal berdepan Everton, Burnley, Palace dan Chelsea.

Jika bersandarkan kepada kedudukan selepas 34 perlawanan jelas sekali baik Chelsea, Leicester atau United - tidak boleh keciciran mata berdepan baki empat aksi seandainya enggan kempunan terlepas tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pun begitu, ketiga-tiga pasukan ini masih tetap berpeluang layak. Caranya, rayuan City untuk bebas daripada hukuman penggantungan beraksi di pentas Eropah, ditolak dan mereka berjaya memenangi dua daripada empat baki aksi.

Dalam pada itu, aksi tumpuan minggu ini antara Tottenham dan Arsenal lewat malam esok pastinya sengit bersandarkan hakikat kedua-duanya memburu mata penuh untuk menghidupkan peluang ke saingan Eropah. Arsenal ketika ini menduduki tangga kelapan dengan himpunan 50 mata manakala Spurs, setakuk dibawah dengan 49 mata. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-35

Watford 1 Newcastle 2

Norwich 2 West Ham 2

Liverpool 3 Burnley 0

Sheffield 1 Chelsea 1

Brighton 0 Man City 4

Wolves 1 Everton 1

Aston Villa 1 C Palace 1

Tottenham 1 Arsenal 1

Bournemouth 0 Leicester 2

Man United 3 Southampton 1

Berita Harian X