Sabtu, 27 Jun 2020 | 6:31pm
Gambar fail, bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof bergambar bersama logo Lang Merah selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di Stadium Darul Aman pada 2018. - Foto ihsan KFA
Gambar fail, bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof bergambar bersama logo Lang Merah selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di Stadium Darul Aman pada 2018. - Foto ihsan KFA

Azmeer hanya tinggalkan Lang Merah, belum bersara

ALOR SETAR: Azmeer Yusof tidak berhasrat untuk bersara terus daripada sukan bola sepak walaupun sudah mengambil keputusan meninggalkan pasukan Kedah mulai Khamis lalu atas alasan ingin menumpukan kepada bidang perniagaan.

Sebaliknya pemain berusia 30 tahun itu yang menyertai skuad Lang Merah sebanyak dua kali iaitu pada 2016 dan 2019, menjelaskan beliau hanya mahu menumpukan perhatian kepada bidang baharunya itu selain pusat pengajian Islam di sini yang sedang dibangunkannya.

"Sebenarnya bukanlah niat saya nak bersara terus dari bidang bola sepak, tetapi saya cuma berehat sebentar untuk tahun ini kerana mahu fokus membangunkan bidang perniagaan dan pusat pengajian Islam yang saya tengah usahakan.

"Seperti saya ceritakan kepada media sebelum ini, ayat pengunduran diri itu bukan bermaksud saya mahu 'gantung but', tetapi untuk maklumkan, saya sekadar berehat seketika dengan mengundurkan diri dari dari pasukan Kedah saja,".

Tindakan mengejut Azmeer yang mengumumkan pengundurannya menerusi media sosial itu mendapat pelbagai reaksi pihak terutama penyokong Kedah, dengan majoritinya melahirkan rasa terkejut.

Mengulas lanjut, Azmeer berkata ayahnya sendiri yang menginginkan beliau kembali semula menyertai Kedah pada 2019 selepas beraksi pertama kali dengan skuad Lang Merah empat tahun lalu.

"Saya sudah mendapatkan restu ayah dan keluarga saya mengenai hasrat mengundurkan diri daripada pasukan Kedah ini memandangkan niat ayah yang mahukan saya sertai kembali Kedah pada 2019.

"Ayah saya dah reda. Lagipun dia pun dah tahu kenapa saya nak undur dan mahu memberi fokus kepada pusat pengajian buat masa ini dan dia rasakan itu perkara yang bagus.

"Jadi perkara dengan keluarga saya berkenaan niat saya undur diri buat masa ini dikira sudah selesai. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penyokong yang telah memberi sokongan padu sepanjang saya bersama skuad Lang Merah." katanya.

Berita Harian X