Jumaat, 26 Jun 2020 | 10:29pm
Gambar fail, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto Rozainah Zakaria
Gambar fail, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto Rozainah Zakaria

Kedah kehilangan pemain komited, berpengalaman

ALOR SETAR: Keputusan Azmeer Yusof berundur daripada mewakili Kedah semalam menerima pelbagai reaksi termasuk daripada pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak yang menganggap pemain itu memiliki komitmen tinggi dalam skuad Lang Merah.

Katanya, Azmeer adalah antara pemain yang sentiasa komited dalam menjalankan tugasnya di bahagian pertahanan sehingga menyukarkan pihak lawan melakukan serangan ke gawang Kedah.

"Saya fikir beliau adalah seorang pemain yang sentiasa bermotivasi tinggi dan komited dalam menjalankan tugas terutama di bahagian pertahanan kiri. Setiap halangan yang dihadapi tidak dianggap negatif, malah beliau bijak dalam mencatur gerakan bagi mengekang asakan.

"Beliau juga antara pemain yang selalu merujuk kepada saya setiap kali membuat 'homework' sebelum berhadapan dengan pasukan lawan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk usaha yang akan dilakukannya pada masa depan," katanya.

Kelmarin, Azmeer melakukan kejutan apabila mengumumkan pengunduran daripada mewakili skuad Lang Merah musim ini atas faktor ingin memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

Pengumuman pemain berusia 30 tahun itu melalui akaun Instagram miliknya kira-kira jam 8 malam, sekali gus menjawab persoalan mengenai laporan seorang pemain utama Kedah memberi bayangan akan menamatkan kontraknya dua minggu lalu.

Berdasarkan perjalanan kerjaya Azmeer dalam Liga Malaysia (Liga M), beliau adalah pemain yang memiliki pengalaman luas dalam liga tempatan sejak memulakan karier bola sepak secara profesional pada 2008.

Beliau memenangi dua piala bersama Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia (2016) dan Piala FA (2019). Selain itu dia juga membantu Lang Merah menduduki tangga ketiga Liga Super selain layak ke separuh akhir Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia pada 2019.

Berita berkaitan:

  • Azmeer buat kejutan tinggalkan pasukan Kedah
  • Berita Harian X