Isnin, 11 Mei 2020 | 8:24pm
Ronaldo (kanan) dianggap anak emas Ferguson.
Ronaldo (kanan) dianggap anak emas Ferguson.

Ferguson tak pernah maki Ronaldo

LONDON: Cristiano Ronaldo antara empat bintang Manchester United yang kebal daripada 'makian' Alex Ferguson, kata Ryan Giggs.

Ferguson adalah pengurus paling berjaya dalam sejarah di Old Trafford selepas menjulang 38 trofi termasuk 12 gelaran Liga Perdana Inggeris sepanjang 26 tahun mengendalikan The Red Devils.

Bagaimanapun, dia sering memaki hamun barisan pemainnya.

Sikap panas baran Ferguson turut menyaksikan dia melemparkan but kepada David Beckham sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian mata pemain itu dan terpaksa dijahit.

Pemain seperti Ruud van Nistelrooy dan Jaap Stam sering bertikam lidah dengan Ferguson termasuklah Wayne Rooney.

Namun, Giggs mendedahkan Ronaldo antara empat pemain yang dianggap anak emas kepada Ferguson.

"Ada tiga atau empat pemain yang dia tidak pernah lakukannya (maki hamun).

"Mereka ialah Eric Cantona - Bryan Robson, Roy Keane dan Ronaldo. Mereka semua mempunyai cara yang tersendiri untuk memikat hati Ferguson menerusi aksi di atas padang.

"Mereka menunjukkan prestasi yang baik di atas padang. Jadi, tiada apa yang boleh Ferguson lakukan."

Ronaldo menyertai United ketika usianya 17 tahun pada 2003 dan Ferguson menyifatkan pemain itu mempunyai bakat yang luar biasa.

Sejak itu, kedua-duanya mempunyai hubungan yang baik seperti bapa dan anak sehinggalah sekarang biarpun Ronaldo yang berusia 35 tahun beraksi bersama Juventus. - Agensi

Berita Harian X