Khamis, 7 Mei 2020 | 10:12am
Paul Pogba. - Foto AFP
Paul Pogba. - Foto AFP

United jadi 'kilang' Real

LONDON: Real Madrid terdesak mahu mendapatkan Paul Pogba dari Manchester United pada musim panas ini.

Pemain Perancis itu memang ingin berpindah dan sekiranya dia melangkah dari Old Trafford ke Bernabeu, dia bukanlah pemain pertama United melakukannya.

Berikut enam bintang yang pernah berpindah antara dua kelab terhebat itu.

Cristiano Ronaldo. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo. - Foto AFP

1. Cristiano Ronaldo

Antara pemain paling hebat sepanjang zaman, bermula sebagai pemain remaja berbakat kepada bintang terbaik dunia di bawah kendalian Alex Ferguson di Manchester United.

Enam tahun di Old Trafford, dia meledak 118 gol dan 69 umpanan gol dalam 292 perlawanan. Real kemudian membayar harga tertinggi dunia ketika itu, 80 juta pound (RM428.58 juta) untuk mendapatkan khidmatnya pada Julai 2009.

Pembelian itu jelas berbaloi apabila dia mengumpul 16 gelaran, termasuk empat Liga Juara-Juara dengan jumlah jaringan 450 gol dan 131 umpanan sepanjang 438 perlawanan untuk Los Blancos.

David Beckham. - Foto AFP
David Beckham. - Foto AFP

2. David Beckham

Beckham melengkapkan skuad Real kendalian Florentino Perez selepas dibeli pada harga 33 juta pound (RM176.83 juta) dari United pada Julai 2003.

Pakar sepakan percuma England itu beraksi cemerlang di Sepanyol dengan meledak 20 gol dan 51 umpanan daripada 159 perlawanan sebelum berhijrah ke Major League Soccer di Amerika Syarikat.

Beckham hanya memenangi satu gelaran La Liga tetapi namanya terus menjadi sebutan di Bernabeu.

Angel Di Maria. - Foto AFP
Angel Di Maria. - Foto AFP

3. Angel Di Maria

Tidak seperti nama besar yang pernah beraksi untuk kedua-dua kelab itu, pemain sayap Argentina berkenaan bermula di Real Madrid terlebih dulu.

Pemain 32 tahun itu, yang kini bersama Paris Saint-Germain, tidak lagi menjadi pilihan utama di Real dan United membelinya pada harga 70 juta pound (RM375.12 juta) pada Ogos 2014.

Selepas menjaringkan 36 gol dan 85 umpanan dalam 190 penampilan untuk Madrid, harapan tinggi diletakkan ke atas Di Maria di Old Trafford, tetapi dia hanya menyumbat empat gol dan 12 umpanan dalam 32 perlawanan, sebelum berpindah ke Perancis pada 2015.

Ruud Van Nistelrooy. - Foto AFP
Ruud Van Nistelrooy. - Foto AFP

4. Ruud Van Nistelrooy

Bintang Belanda itu berpindah dari United ke Real ketika kariernya sudah sampai ke penghujung.

Dia menyertai United dari PSC pada 2001, dan selepas memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga di Manchester, dia berpindah ke Madrid pada Julai 2006 pada usia 30 tahun.

Sepanjang bersama United dia meledak 150 gol daripada 219 penampilan. Di Sepanyol, dia menjaringkan 64 gol dalam 69 penampilan.

Javier Hernandez. - Foto AFP
Javier Hernandez. - Foto AFP

5. Javier Hernandez

Hernandez mencipta nama di Old Trafford sebagai super sub dan dia meneruskan ketajamannya itu di Bernabeu ketika dipinjamkan pada musim 2014-15.

Dia tampil 33 kali bersama kelab Sepanyol itu dan menjaringkan sembilan gol serta sembilan umpanan pada musim berkenaan, tetapi kemudian dijual kepada Bayer Leverkusen apabila dia kembali ke Manchester.

Kebanyakan 59 gol jaringannya dalam 157 penampilan untuk United adalah sebagai pemain gantian.

Gabriel Heinze. - Foto AFP
Gabriel Heinze. - Foto AFP

6. Gabriel Heinze

Pemain Argentina ini menyertai Real dari United pada 2007 dan membantu mereka memenangi gelaran La Liga kedua berturut-turut pada musim 2007-08.

Selepas berpindah ke Old Trafford dari PSG pada Julai 2004, bek kiri itu mengharungi 83 perlawanan dan memenangi gelaran Liga Perdana pada musim 2006-07.

Dia kemudian bermain 60 kali untuk Madrid sebelum berpindah ke Marseille pada 2009. - AGENSI

Berita Harian X