Sabtu, 7 March 2020 | 8:22am
Carlo Ancelotti sangat dihormati ketika mengemudi Chelsea pada musim 2009-10. - REUTERS
Carlo Ancelotti sangat dihormati ketika mengemudi Chelsea pada musim 2009-10. - REUTERS

Ancelotti akan menerima sambutan hangat - Lampard

LONDON: Pengurus Chelsea, Frank Lampard percaya Carlo Ancelotti akan menerima sambutan hangat daripada penyokong tuan rumah apabila dia kembali ke Stamford Bridge bersama Everton dalam Liga Perdana esok.

Jurulatih Itali, Ancelotti menang liga dan Piala FA pada musim pertamanya sebagai bos Chelsea pada 2009-10 sebelum dia dipecat oleh kelab pada penghujung kempen seterusnya walaupun berkedudukan kedua liga.

Ketika ditanya bagaimana sambutan akan diterima Ancelotti ketika dia bersedia menghadapi Chelsea buat pertama kali, Lampard berkata: “Sambutan yang bagus. (Dia) sangat dihormati dan saya rasa penyokong menghormatinya ketika dia bersama kelab.

“Dia seorang lelaki budiman, pengurus yang hebat. Secara peribadi saya suka bekerja dengannya dan saya rasa dia akan disambut dengan hebat.

“Dia pengurus yang hebat, dia memang hebat pada tahap peribadi. Dia bagus ketika menjalin hubungan dengan pemain, dia amat bagus dalam aspek taktikal dan memiliki watak yang tenang.”

Ancelotti berkata, kembalinya dia ke Chelsea akan menjadi “saat emosi” dan dia kagum dengan bekas pemainnya, Lampard yang kini bergelar pengurus.

“Dia melakukan tugas yang sangat bagus musim ini,” kata Ancelotti. “Ia bukanlah musim yang mudah buat Chelsea.

“Saya gembira untuk bertemunya selepas tempoh yang lama. Saya tidak tahu sama ada saya dapat bersalam dengannya tetapi untuk berjumpanya sudah cukup bagus buat saya.” - AFP

Berita Harian X