Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:27pm
Dollah memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan terakhir sebelum bertemu Selangor di Stadium Darulmakmur, malam ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Dollah memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan terakhir sebelum bertemu Selangor di Stadium Darulmakmur, malam ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Dollah hormati Red Giant

KUANTAN: Pahang tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang berhadapan Selangor pada perlawanan pembukaan saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Ini diakui jurulatihnya Dollah Salleh yang berpendapat pelawat sememangnya memiliki kelebihan terutama dengan membariskan beberapa pemain terbaik seperti Safuan Baharudin dan Brendan Gan.

Katanya, Red Giant juga membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini, mereka juga tidak kurang hebatnya walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, walaupun pelawat memiliki kelebihan namun itu tidak bermakna Tok Gajah mudah menyerah kalah terutama di hadapan penyokong setia yang ingin melihat perlawanan pertama malam ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Pahang.

"Saya ingin tegaskan bahawa Tok Gajah kini memiliki benteng pertahanan yang terbaik hasil gandingan pemain tempatan dan import. Kelibat Muslim Ahmad, Herold Goulon, Khalil Khamis dan Faizal Rosli kini begitu serasi.

"Walaupun jentera serangan diketuai Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos masih tidak dapat membentuk persefahaman terbaik namun saya tetap menaruh sepenuh kepercayaan yang mereka mampu menyerlah," katanya ditemui pada sesi latihan terakhir Tok Gajah di Stadium Darulmakmur.

Beliau berkata, prestasi terbaik dipamerkan pemain pada perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur minggu lalu yang berkesudahan kemenangan 3-1 diharap menjadi landasan kepada Tok Gajah untuk melakar kemenangan pertama Liga Super malam ini.

Mengenai ketua pasukan Pahang malam ini, Dollah menegaskan, dia sudah mempunyai calon sesuai untuk mengalas tugas berat berkenaan namun dia tidak boleh diumumkan lagi.

"Saya perlu mendapatkan persetujuan daripada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang sentiasa memberi sokongan kepada skuad Tok Gajah.

"Kita tunggu malam ini pemain mana yang akan diberi tugas sebagai ketua pasukan...biarlah ia menjadi teka teki," katanya yang berharap kemenangan milik Pahang malam ini.

Pada perlawanan persahabat dengan Kuala Lumpur sebelum ini tugas ketua pasukan digalas Nwakaeme.

Berita Harian X