Sabtu, 22 Februari 2020 | 5:21pm
Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme. - NSTP/Asrol Awang
Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme. - NSTP/Asrol Awang

'Orang Besi' sah bersama Pahang

KUANTAN: Pahang akhirnya menamatkan teka-teki apabila Dickson Nwakaeme sah bersama skuad Tok Gajah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

 

Penyerang kelahiran Nigeria yang dikenali sebagai ‘Orang Besi’ itu menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Dollah Salleh hari ini, selepas beberapa minggu menjalani sesi ujian pemilihan bersama Pahang.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya berharap pemain berumur 34 tahun itu dapat membantu memperkasakan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Katanya, sentuhan berbisa Nwakaeme diyakini menggerunkan lawan seperti musim lalu apabila meledak 19 gol, termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya harap dia (Nwakaeme) lebih padu musim ini di bahagian serangan sambil dibantu rakan sepasukan termasuk empat import lain," katanya.

 

Dengan pengesahan Nwakaeme itu, skuad Tok Gajah sudah melengkapkan lima kuota pemain import.

 

Empat import yang menyarung jersi Tok Gajah musim ini ialah penyerang Brazil, Ivan Carlos, Harold Goulon (Perancis), Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan).

Kehadiran Khalil bakal mengukuhkan kembali jentera pertahanan skuad itu selepas Matthew Davies meninggalkan Pahang.

Berita Harian X