Isnin, 17 Februari 2020 | 12:41pm
PERTAHANAN kanan Harimau Malaya, Matthew Davies (tengah) sertai JDT. - Ihsan FB Johor Southern Tigers
PERTAHANAN kanan Harimau Malaya, Matthew Davies (tengah) sertai JDT. - Ihsan FB Johor Southern Tigers
Davies (kanan) bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Ihsan FB Johor Southern Tigers
Davies (kanan) bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Ihsan FB Johor Southern Tigers

RM2 juta nilai perpindahan Davies ke JDT

JOHOR BAHRU: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies secara rasmi menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia yang menyingkap tirai hujung bulan ini.

Difahamkan, bekas kapten Pahang itu mengikat kontrak tiga tahun dengan nilai perpindahan dianggarkan RM1 juta hingga RM2 juta.

Bekas pemain Perth Glory itu akan membuat penampilan pertama bersama juara Liga Super enam musim berturut-turut pada pertembungan menentang Kedah pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah, 28 Februari ini.

Sambil teruja menyertai Harimau Selatan, Davies mengakui dia akan berdepan tugas berat bagi memastikan dirinya di dalam tahap terbaik, apatah lagi dengan reputasi tinggi Harimau Selatan.

"Apa yang perlu saya lakukan menerus usaha untuk meningkatkan lagi kualiti skuad JDT dan kita tahu pasukan ini dibarisi pemain yang hebat dan berkualiti.

Jadi, saya harus bersedia untuk berada di tahap yang sama dengan rakan lain.

"Saya datang ke sini untuk membantu pasukan ini menambah kejuaraan dan kita tahu mereka sudah kecapi kejuaraan liga enam musim berturut-turut dan saya harus ada sikap positif meneruskan kejayaan JDT.

Mereka sudah tempa sejarah dan saya ingin mengecapi kejayaan itu,” katanya pada majlis memperkenalkannya sebagai pemain baharu JDT hari ini.

Ditanya mengenai corak permainan JDT sama ada dia mampu menguasainya, Davies optimis mampu mengadaptasi corak permainan itu walaupun hanya berbaki tempoh dua minggu sebelum saingan liga elit domestik menyingkap tirainya.

Katanya, penyesuaian itu tidak menimbulkan masalah tatkala dia sudah serasi beraksi bersama Corbin Ong, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Adam Nor Azlin ketika bersama skuad Harimau Malaya dan pastinya ia beri kelebihan untuk menyerap dengan pantas corak taktikal permainan kendalian jurulatih Benjamin Mora.

Sementara itu, Mora mengakui kehadiran Davies akan memperkukuhkan lagi benteng pertahanan tatkala pemain itu memiliki kualiti yang baik untuk mengemudi posisi bek kanan malah memberi kelebihan kepadanya memilih pemain yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Matt pemain terbaik ketika bersama Pahang dan sekarang dia bersama JDT. Ia satu penghormatan kerana dia sudi untuk menyertai JDT," kata Mora.

Berita Harian X