Ahad, 2 Februari 2020 | 6:01pm
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan jersi baharu di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi. - Foto Ihsan FB JOHOR Southern Tigers
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan jersi baharu di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi. - Foto Ihsan FB JOHOR Southern Tigers

Bukti JDT mampu berdiri sendiri

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai ketiadaan nama penaja di bahagian hadapan jersi baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini akhirnya terjawab.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers menjelaskan perkara itu adalah sinonim dengan misi JDT mencapai nilai komersial RM1 bilion mereka.

"Ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi sinonim dengan misi RM1 bilion dalam menggambarkan bahawa kelab mampu untuk berdiri sendiri melalui ‘commercial value’ (nilai komersial) JDT.

"Adanya penaja adalah satu bonus. Warna merah biru di jersi ‘home’ melambangkan negeri Johor. Warna Putih di jersi ‘away’ melambangkan stadium baharu manakala warna emas simbolik pada kejayaan JDT," jelas kelab itu yang menjawab komen netizen di Facebook mereka.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Tunku Ismail berkata, misi utama JDT adalah memastikan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM1 billion dalam usaha mengumpul semua aset milik kelab yang membabitkan stadium dan fasiliti.

JDT melancarkan jersi baharu mereka yang akan digunakan untuk saingan Liga Malaysia musim ini di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.

Selepas pelancaran itu, sebahagian besar penyokong bagaimanapun tertanya-tanya mengapa tiada nama penaja di bahagian hadapan jersi JDT berbanding tahun sebelum ini.

Berita Harian X