Selasa, 21 Januari 2020 | 2:37pm
Cavani jadi buruan pengendali Chelsea, Lampard.
Cavani jadi buruan pengendali Chelsea, Lampard.

Lampard idam sentuhan Cavani

LONDON: Frank Lampard memberi isyarat yang Chelsea mungkin akan cuba mendapatkan Edinson Cavani, pemain Uruguay yang cukup dikagumi bekas pemain tengah Chelsea dan England itu.

Penyerang Paris Saint-Germain itu berhasrat meninggalkan kelab gergasi Perancis berkenaan pada jendela perpindahan kali ini, dengan Atletico Madrid yakin akan berjaya menandatangani Cavani.

Tetapi Chelsea turut mencari penyerang baharu selepas Olivier Giroud dijangka akan meninggalkan Stamford Bridge bulan ini, manakala Michy Batshuayi ketandusan gol.

“Dia pemain yang hebat, saya pernah menentangnya dan saya suka mentaliti dan sikapnya. Rekod jaringannya membuktikan kemampuannya,” kata Lampard.

“Saya tidak pasti situasinya sekarang, jadi kita tunggu dan lihat. Dia pemain berpengalaman, tetapi begitu juga pemain-pemain di luar sana.

Tammy Abraham menerajui kempen Chelsea musim ini ketajaman di depan gawang menjadi masalah mereka sejak beberapa bulan ini – terutama di laman sendiri.

Rekod pembelian Chelsea sebelum ini tidak menyebelahi mereka, dengan penyerang-penyerang veteran seperti Falcao, Alexandre Pato dan Gonzalo Higuain bergelut menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris.

Tetapi Lampard berkata tidak salah untuk menguatkan skuad mudanya dengan sentuhan pemain-pemain berpengalaman.

“Saya rasa kami masih muda, dan kami sedar peralihan ini. Membawa masuk pengalaman ialah sesuatu yang tidak akan saya ketepikan,” katanya. – AGENSI 

Berita Harian X