Jumaat, 17 Januari 2020 | 6:07pm
(Dari kiri) Jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Ngiem; jurulatih True Bangkok United, Alexandre Poelking; jurulatih Persib Bandung, Robert Rene Alberts dan jurulatih Selangor, B Satiananthan pada sidang media Selangor Asia Challenge di Acappella Suite Hotel, Shah Alam. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
(Dari kiri) Jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Ngiem; jurulatih True Bangkok United, Alexandre Poelking; jurulatih Persib Bandung, Robert Rene Alberts dan jurulatih Selangor, B Satiananthan pada sidang media Selangor Asia Challenge di Acappella Suite Hotel, Shah Alam. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pertembungan Sathia, Alberts curi tumpuan

SHAH ALAM: Saingan Piala Cabaran Asia (ACC) yang bermula esok bakal menyaksikan pertembungan taktikal menarik antara B Sathianathan dengan Robert Alberts.

Sathianathan yang mengendalikan Selangor dan Alberts yang membimbing Persib Bandung pernah bernaung bersama di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Kedatangan Alberts bersama pasukannya jelas tidak dipandang enteng  Sathianathan yang menyifatkan Persib Bandung mempunyai kelebihan kerana belum memilih pemain dan hanya akan memulakan pramusim, 22 Januari ini.

Poster saingan Piala Cabaran Asia (ACC) yang bermula esok.
Poster saingan Piala Cabaran Asia (ACC) yang bermula esok.

Sathianathan berkata, apabila menentang pasukan yang belum memilih pemain, sudah tentu pemain pasukan itu akan memberikan 100 peratus komitmen berbanding pemain yang sudah pun terpilih menyarung jersi pasukan.

"Namun, ia adalah peluang yang bagus untuk pasukan membuat persediaan sebelum liga yang besar bermula.

"Ia juga memberi peluang kepada peminat untuk melihat semua pemain baharu, justeru jangkaan mereka sangat tinggi.

"Saya harap ia tidak terlalu tinggi kerana semua pihak harus faham bahawa kami masih di peringkat pramusim," katanya pada sidang media bersama-sama tiga lagi jurulatih pasukan jemputan untuk perlawanan ACC itu, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan Albert, jurulatih True Bangkok United, Alexandre Polking dan Chu Dinh Nghiem dari Hanoi FC.

Terdahulu, Alberts berkata, kejohanan dua hari itu memberi peluang kepada pemainnya yang tidak bermain musim lalu yang berakhir, 22 Disember lalu untuk beraksi selain melihat keupayaan pemain dari luar.

Sementara itu, Polking dan Dinh Nghiem mengakui kejohanan pramusim itu memberi peluang terbaik kepada pasukan masing-masing untuk berentap dengan pasukan terbaik di rantau ini.

Dinh Nghiem berkata, ia memberi peluang terbaik bagi pasukannya dalam persiapan berdepan musim 2020 manakala Polking mahu menggunakan peluang ini untuk menguji sejauh mana keupayaan pasukannya menentang pasukan dari luar Thailand.

Hanoi FC bakal bertemu True Bangkok United dalam perlawanan pertama jam 5 petang esok manakala pasukan Selangor dan Persib Bandung bakal berentap pada jam 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

Berita Harian X